KPN tidak tahu tentang serbuan firma guaman wakili Goldman Sachs


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, serbuan itu tidak menjadi masalah kerana ia sebahagian daripada siasatan kes berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2019

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata, beliau tidak tahu mengenai serbuan yang dijalankan di firma guaman yang mewakili Goldman Sachs berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya serbuan itu dibuat, ia dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan polis. 

“Saya tidak pasti berhubung serbuan di firma guaman Goldman Sachs di sini. Saya tidak dimaklumkan tetapi ia tiada masalah kerana ianya sebahagian daripada siasatan. 

“Saya tidak pasti tentang serbuan itu kerana tidak dimaklumkan oleh pegawai saya,” kata Fuzi ketika ditanya berhubung perkara itu. 

The Edge hari ini melaporkan polis menyerbu firma guaman mewakili Goldman Sachs pagi tadi bagi mencari dokumen berkaitan tiga bon dikeluarkan untuk 1MDB. 

Laporan itu menyebut polis berada di firma Rahmat Lim & Partners pagi tadi selepas mendapat arahan mahkamah susulan firma itu enggan menyerahkan dokumen berkenaan sebelum ini.

Firma itu mewakili Goldman Sachs ketika pengeluaran bon 1MDB pada 2012 dan 2013 berjumlah AS$6.5 bilion.

Sebuah lagi firma guaman, Wong & Partners yang mewakili 1MDB dalam urus niaga itu bagaimana pun sudah menyerahkan dokumen berkaitan selepas diminta polis, kata sumber.
 
Goldman Sachs membantu 1MDB untuk mendapatkan AS$6.5 bilion untuk memperoleh aset. Untuk itu, ia memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta, yang menurut pengkritik ianya adalah berlebihan. – 24 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen