Peguam bela pertikai foto dilihat sepupu Altantuya


Bede Hong

DAKWAAN oleh sepupu Altantuya Shaariibuu yang beliau pernah melihat gambar warga Mongolia itu dengan Razak Baginda dan timbalan perdana menteri Malaysia bernama Razak dipertikaikan oleh peguam bela hari ini.

Semalam, Burmaa Oyunchimeg, 37, ketika memberi keterangan dalam tuntutan sivil berhubung pembunuhan Altantuya, berkata Altantuya menunjukkan kepadanya gambar itu di Mongolia pada 2005 tetapi tidak dapat mengemukakan foto itu.

Di mahkamah hari ini, peguam Razak Manjit Singh Dhillion memberitahu Burmaa keterangannya bertentangan, dan beliau tidak pernah ditunjukkan sebarang foto.

“Anda kembali ke Mongolia dan Altantuya tunjukkan gambar ... selepas anda menghabiskan lima malam (bersosial) dengan lelaki ini yang dipanggil Razak Baginda, anda tidak dapat mengenalinya (dalam gambar)?

“Saya katakan bahawa anda tidak pernah ditunjukkan sebarang gambar, saya katakan kepada anda tiada gambar sedemikian dan saya katakan ini adalah cerita yang direka,” kata Manjit.

Semalam, Burmaa memberi keterangan yang Altantuya menunjukkan kepadanya semasa di Mongolia gambar lawatan ke Paris bersama Razak, yang dikatakan Altantuya sebagai teman lelakinya.

Lawatan ke Paris itu berlaku sebelum Burmaa bertemu Altantuya dan Razak di Singapura pada Mac 2005.

“Saya melihat gambar tiga individu, dua lelaki dan Altantuya. Saya bertanya kepadanya siapa mereka dan beliau kata seorang timbalan perdana menteri dan seorang lagi adalah Razak yang bekerja dengannya dan melakukan perniagaan bersama.

“Saya bertanya sama ada mereka adik-beradik kerana mempunyai nama yang sama.

“Beliau berkata tidak, sebaliknya mereka kawan baik, rakan perniagaan dan kerja bersama,” kata Burmaa di mahkamah Shah Alam di Selangor.

Buurma berkata bertemu Razak tiga kali - kali pertama di Hong Kong pada November atau Disember 2004, kali kedua di Shanghai pada Januari 2005 dan kali ketiga di Singapura pada Mac 2005.

Pada ketiga-tiga pertemuan itu, Buurma berkata Altantuya turut sama dan Razak membayar segala perbelanjaan.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua cucunya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan sebagai plaintif apabila beliau meninggal dunia dua tahun lalu.

Dalam kenyataan tuntutan itu, keluarga berkenaan mendakwa kematian Altantuya menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, membolehkan mereka menuntut ganti rugi teladan dan kerosakan teruk.

Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006, tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2008 tanpa membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Ia mendapati Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung terhadap mereka. – 24 Januari, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen