Tiada alasan Pakatan tidak perbaiki pentadbiran GLC, kata Ambiga


Nabihah Hamid

Bekas presiden Bar Malaysia, Ambiga Sreenevasan berkata reformasi GLC bukan satu daripada janji yang tidak boleh dilaksanakan oleh PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Januari, 2019.

PAKATAN Harapan tiada alasan untuk tidak melaksanakan janji mereformasi pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk tidak melantik individu yang mempunyai kaitan politik ke jawatan dalam entiti itu.

Kegagalan melakukan pembaharuan dalam GLC adalah sesuatu yang tidak boleh masyarakat terima, kata bekas presiden Bar Malaysia, Ambiga Sreenevasan.

Katanya, masyarakat memahami kekangan yang kerajaan hadapi untuk menunaikan janji pilihan raya tetapi reformasi GLC bukan satu daripada janji yang tidak boleh dilaksanakan.

“Ini bukan antara manifesto yang sukar. Ia mudah dilaksanakan dan boleh dilakukan serta-merta. Kita tidak akan maafkan sekiranya ini berterusan.

“Tiada sebab kenapa mereka tidak boleh laksanakan,” katanya pada sidang media selepas forum mengenai pembaharuan GLC selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu Profesor Dr Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya berkata amalan kronisme dan nepostisme tidak boleh diterima sama sekali.

“Perkara ini tidak boleh diterima sama sekali. Kerana tiba-tiba mereka cakap syarikat ini ada perbezaan bukan GLC dan sebagainya,” katanya merujuk penafian oleh mereka yang dilantik ke jawatan dalam GLC.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang selepas dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata badan itu bukan GLC tetapi badan berkanun.

Gomez berkata, pihaknya sudah menghubungi kerajaan untuk mendapatkan penjelasan terhadap lantikan politik yang dibangkitkan sebelum ini.

“Kerajaan memberi maklum balas dan kita berbincang, bukan tidak. Mereka dengar. Hari ini kita akan bermesyuarat dengan Pejabat Perdana Menteri, ” katanya.

Sehubungan itu pihaknya menggesa satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi memantau GLC dalam matlamat menjadikan ia bertaraf dunia.

“Tugas kita ialah untuk membantu dan bekerjasama dengan kerajaan. Kita mahu bawa jawatankuasa bebas yang berkelayakan.

“Kita sedang berhadapan dengan isu kompleks. Kita merasakan penting untuk mendidik masyarakat mengenai GLC,” katanya.

Beberapa lantikan dalam beberapa agensi dan GLC baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak kerana didakwa sebagai lantikan politik selain berunsur nepotisme dan kronisme.

Ahli politik pembangkang dan penyokong kerajaan mempertikaikan antaranya pelantikan dua individu yang ada kaitan dengan pemimpin Pakatan Harapan ke dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Junaidah Kiting, isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya, dilantik sebagai pengerusi AIM manakala Nurul Iman Dzulkefly, anak Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mempertahankan merit pelantikan itu.

Pada sidang media itu, mereka yang terlibat turut mengumumkan pembentukan sebuah gabungan badan masyarakat atas nama Jawatankuasa Kerja Gabungan Pembaharuan GLC yang akan menggesa dan memantau usaha pembaharuan itu.

Jawatankuasa itu antara lain akan mengenal pasti dan memetakan kesemua GLC di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ia juga akan meneliti laporan audit GLC dan mengenal pasti transaksi yang mencurigakan.

Selain itu, NGO tersebut mencadangkan pindaan terhadap Akta Syarikat untuk memastikan semua GLC yang ditakrifkan berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia. – 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen