SUHU di selatan Australia mencecah 49 darjah selsius pada Khamis, ememcahkan rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di kawasan itu sebelum ini.
Biro Meteorologi Australia melaporkan suhu direkodkan pada 49.5 darjah selsius di utara Adelaide, manakala suhu di bandar itu sendiri mencatatkan bacaan 47.7 darjah selsius, sekaligus memecahkan rekod yang pernah dicatat pada 1939.
Penduduk di Adelaide sudah biasa dengan keadaan suhu panas di hemisfera selatan, namun mereka masih bergelut dengan suhu yang terlalu panas.
Lebih 13 bandar di seluruh selatan Australia memecahkan rekod suhu yang pernah dicatatkan sebeum ini.
Pihak berkuasa kesihatan negeri itu melaporkan, 44 orang terpaksa diberikan rawatan kecemasan berikutan masalah kesihatan disebabkan haba sejak 24 jam lalu.
“Semua dinasihatkan memeriksa keadaan rakan, saudara mara, jiran dan mereka yang tidak sihat,” menurut perkhidmatan kecemasan negara itu menerusi Twitter.
Pihak berkuasa kesihatan turut memberi amaran kepada masyarakat umum agar mengelakkan daripada bersentuhan dengan kelawar yang jatuh daripada pook berikutan stres haba di kawasan taman rekreasi.
Pihak berkuasa di tengah Australia berkata, mereka terpaksa menangkap lebih 50 kuda liar, selepas mendapati 90 ekor haiwan berkenaan mati akibat kawasan air yang kering. – AFP, 24 Januari, 2019
Komen