WHITE House pada Rabu mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membalas sepucuk surat yang dihantar oleh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un minggu lepas namun enggan mendedahkan butirannya, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Wakil Kim, Kim Yong Chol, menyerahkan surat itu kepada Trump pada Jumaat lepas ketika kedua-duanya bertemu di White House bagi membincangkan butiran sidang kemuncak kedua yang bakal berlangsung.
“Presiden telah memberikan respons kepada surat Pengerusi Kim,” kata setiausaha akhbar White House, Sarah Sanders dalam satu kenyataan tanpa mengulas lanjut.
Beberapa jam sebelum itu, media rasmi Korea Utara melaporkan Kim melahirkan rasa puas hati selepas menerima surat Trump, yang diserahkan oleh wakilnya.
Beliau dipetik sebagai memuji “cara berfikir positif” Trump dan berjanji akan mencapai matlamat bersama mereka “langkah demi langkah.”
Kedua-dua pemimpin merancang untuk bertemu pada akhir Februari di sebuah lokasi yang akan diumumkan kelak, kata White Houese selepas pertemuan Kim Yong Chol dengan Trump.
Kedua-dua pihak berada di bawah tekanan untuk menghasilkan keputusan yang ketara selepas sidang kemuncak pertama di Singapura pada Jun membuahkan satu komitmen yang tidak begitu jelas ke arah “usaha” pembasmian sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea sebagai pertukaran bagi jaminan keselamatan untuk Pyongyang. – Bernama, 24 Januari, 2019.
Komen