BEKAS gabenor Jakarta sudah dibebaskan dari penjara, kata pembantunya hari ini, hampir dua tahun selepas sabitan bersalah hina agama menimbulkan kebimbangan negara penganut Islam teramai dunia itu menuju ke arah zaman radikal agama.
Basuki Tjahaja Purnama- gabenor pertama keturunan Cina pertama kota itu- meninggalkan penjara Mako Brimob di Depok, luar Jakarta sekitar jam 7.30 pagi, kata Ima Mahdiah kepada AFP.
Penyokong bekas gabenor itu- yang dikenali ramai sebagai Ahok- berkumpul di luar penjara, bersorak meraikan kebebasannya.
Dengan pembebasan itu tamatlah salah satu tempoh era moden politik paling bergolak Indonesia.
Basuki adalah politikus popular yang dipuji kerana usahanya cuba menyelesaikan masalah kesesakan trafik mega kota itu serta perang korupsi diterajuinya.
Tetapi, kejatuhannya berlaku mendadak selepas kenyataan mengenai lawan politiknya beragama Islam dianggap sebagai menghina agama- satu kesalahan di Indonesia yang boleh dijatuhi hukuman sehingga lima tahun.
Kenyataan itu tular, mencetuskan protes besar-besaran di Jakarta, diterajui puak radikal Islam dengan sokongan musuh politiknya.
Akibatnya, beliau kalah pemilihan, didakwa dan dipenjara dua tahun pada Mei 2017. Hukuman dijatuhkan mahkamah itu dianggap terlalu berat, sedangkan pihak pendakwaan hanya meminta bon kelakuan baik.
“Anak lelakinya Nicholas Sean Purnama mengambilnya selepas dibebaskan,” kata Ima.
“Beliau akan habiskan masa dengan keluarga, berehat.” – AFP, 24 Januari, 2019.
Komen