2 kanak-kanak maut, 50 cedera letupan di majlis kahwin di Sudan


Sudan bergolak dengan bantahan anti kerajaan dan rakyatnya tidak berpuas hati dengan kenaikan kos harga barang termasuk petrol dan roti. – Gambar fail AFP, 24 Januari, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA dua kanak-kanak terbunuh manakala 50 cedera dalam insiden letupan ketika satu majlis perkahwinan berlangsung di sebuah kejiranan di selatan ibu kota Sudan, Khartoum, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap polis pada Rabu.

“Insiden malang itu berlaku pada petang Selasa di lokaliti Jabal Awliya, yang meragut nyawa dua kanak-kanak dan mencederakan 50 yang lain dengan beberapa orang mengalami kecederaan serius,” kata Hashim Abdel-Rahim.

“Insiden itu berlaku selepas seseorang melemparkan bahan letupan ketika majlis perkahwinan itu berlangsung di kejiranan Mayo dalam lokaliti Jabal Awliya,” katanya.

Beliau berkata usaha siasatan menyaksikan penahanan suspek dan satu kes jenayah telah dibuka terhadapnya di bawah pertuduhan membunuh serta mendatangkan kecederaan.

Hashim berkata siasatan kes diteruskan di bawah pengawasan pihak pendakwaan dan bukti menunjukkan bahawa punca insiden mempunyai kaitan dengan penganjuran majlis perkahwinan itu sendiri. – Bernama, 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen