Serbuan LHDN terhadap pejabat anak Dr Mahathir tiada motif politik


Low Han Shaun

Awal bulan ini, pejabat Mukhriz dan dua abangnya iaitu Mokhzani dan Mirzan diserbu LHDN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2017.

SERBUAN ke atas pejabat anak Dr Mahathir tidak bermotifkan politik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Sabin Samitah hari ini.

Beliau berkata LHDN tidak pernah mengumumkan anak-anak lelaki bekas perdana menteri itu sedang disiasat dan serbuan yang dilakukan adalah berdasarkan analisis risiko oleh LHDN.

“Tidak, tiada campur tangan politik. Sebab bagaimana saya akan membenarkan pegawai saya menyerbu sesebuah syarikat jika tiada masalah cukai?

“Serbuan itu dijalankan berdasarkan keperluan. Sebarang penyiasatan atau tindakan dalam siasatan terhadap mana-mana individu atau syarikat adalah berdasarkan analisis yang telah dibuat. Kalau tidak, mereka boleh bawa kami ke mahkamah,” beliau memberitahu pemberita di ibu pejabat LHDN di Cyberjaya hari ini.

Beliau juga berkata ia adalah amalan antarabangsa bagi firma audit dan lembaga perolehan di seluruh dunia untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan tiada unsur-unsur seperti mensasarkan individu tertentu untuk siasatan.

“Tiada operasi spesifik bagi ahli politik… bukan macam tu. Jika mereka ada masalah cukai, mereka akan disiasat tidak kira ahli politik atau tidak. Ada ahli politik yang kami siasat dalam audit kami,” katanya.

Sabin juga berkata LHDN akan menjalankan operasi audit ke atas golongan profesional pada September dan Oktober.

“Dari masa ke semasa kita menyiasat mereka yang tidak mengisytiharkan jumlah cukai sebenar. Kita tak peduli kalau mereka ahli politik atau tidak.”

Awal bulan ini, pejabat Mokhzani, Mirzan dan Mukriz diserbu hingga dipersoalkan pemimpin-pemimpin pembangkang mengapa keluarga Dr Mahathir sahaja dan menteri-menteri kabinet tidak disiasat sama. – 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen