NAJIB Razak mempertahankan kehadirannya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, menyatakan ia adalah atas jemputan penduduk tempatan.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, penduduk mahu beliau datang berkempen kerana Barisan Nasional (BN) banyak menyumbang kepada warga Cameron Highlands semasa pentadbirannya.
“Salah satunya sebab hubungan saya dengan mereka dan juga sumbangan saya selama ini kepada kawasan ini. Boleh kira banyak jugalah yang saya bagi.
“Dan sebab itulah mereka hendak saya datang kempen ini. Jadi kalau hendak kira sumbangan, jauh lebih besar zaman BN,” katanya kepada pemberita di Sungai Koyan, dalam DUN Jelai pagi ini.
Najib menangkis kritikan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang melihat beliau tidak malu untuk berkempen di Cameron Highlands walau membuat banyak kerosakan semasa pentadbirannya.
Menurut Anwar, kedatangan Najib untuk berkempen menunjukkan bekas perdana menteri itu seolah-olah tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan semasa mentadbir negara.
“Saya tengok berbanding dengan PRK yang lain, kali ini Najib rajin datang. Bagus, memang hak dia sebagai warganegara dan rakyat.
“Tapi saya nak beritahu Najib kena terima kenyataan dia telah bawa satu kerosakan imej dan ekonomi Malaysia paling besar dalam sejarah. Satu dunia tahu,” kata Anwar dalam ceramah di Tanah Rata pada malam tadi.
Najib muncul semula untuk berkempen di Cameron Highlands selama dua hari bermula semalam.
Ini merupakan kedatangannya kali kedua Najib selepas berkempen selama tiga hari minggu lalu di Cameron Highlands.
Dalam kempennya, Najib antara lain membangkitkan dakwaan mengenai taktik kotor yang digunakan oleh Pakatan Harapan untuk memenangi kerusi Parlimen itu.
“Sudah ada beberapa kejadian yang mungkin sukar hendak dinafikan. Ada video dan sebagainya.
“Kita tidak mahu pilihan raya ini tercemar dengan apa-apa juga kesalahan yang dilakukan.
“Kita hendak amalan demokrasi kita berjalan dengan cara sihat supaya rakyat di sini boleh memilih siapa yang benar-benar mereka hendak untuk mewakili kawasan Cameron Highlands,” katanya. – 24 Januari, 2019.
Komen