PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak tahu jika kontrak yang diberikan kepada kontraktor China bagi projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) sudah ditamatkan.
“Saya tidak tahu kalau kontrak kontraktor itu sudah ditamatkan atau tidak. Tetapi salah satu cara mengendalikan perkara ini ialah dengan menamatkan kontrak itu tetapi kita terpaksa bayar berbilion.
“Kami akan membincangkannya hari ini dalam mesyuarat Kabinet. Saya baru balik dari lawatan kerja di luar negara,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri satu program di Putrajaya pagi ini.
Beberapa hari lalu theedgemarkets memetik sumber kerajaan yang tidak dinamakan menyiarkan satu laporan menyatakan Putrajaya menamatkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang diberikan kepada kontraktor China, China Communications Construction Co Ltd (CCCC).
The Edge berkata projek RM81 bilion itu diarah menghentikan semua kerja pembinaan dan perkhidmatan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 3 Julai tahun lalu sehingga notis lanjut, susulan semakan semula.
Bagaimanapun, Daim Zainuddin berkata ECRL masih diteruskan, kerana Malaysia masih dalam rundingan dengan China berhubung projek itu.
Bekas menteri kewangan itu berkata kedua-dua pihak berharap dapat memuktamadkan perbincangan secepat mungkin.
Penasihat kerajaan itu dilantik oleh Dr Mahathir sebagai wakil khas bertemu Perdana Menteri China Li Keqiang dan pegawai kerajaan di Beijing tahun lalu.
Lim yang berada bersama Dr Mahathir pagi ini di Putrajaya enggan mengulas berhubung perkara itu. – 24 Januari, 2019.
Komen