Dakwah agama mundurkan umat


Mohd Syazreen Abdullah

ANDAINYA agama dapat diringkaskan, intinya adalah akhlak. Bukankah nabi diutus untuk menyempurnakan akhlak, sesuai sabdanya: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.” Maka misi agama bukan menyebar dakwah siapa paling benar, sebaliknya keupayaan mengangkat moral dan kesejahteraan umat.

Ironinya, kita masukkan jarum perpecahan ketika kita sibuk berpesan-pesan kepada kebaikan, berkasih sayang. Semua agama menyebarkan pesan yang sama – nilai, keadilan, hormat menghormati. Maka hormatlah semua agama. Bukan bergaduh. Akibat berpegang kepada kebenaran eksklusif, kita buang akhlak, kita buang keharmonian.

Justeru, selain Islam, ajaran tidak boleh disebar. Islam diperkasa malah dimaktubkan dalam Perlembagaan. Kebebasan agama? Ya! Asalkan Islam. Agama lain tidak. Kita marah agama lain disebar ketika kita memperkasa dakwah kepada non-muslim – dakwah tukar agama.

Ironi.

Jangan provokasi agama

Lembaga dakwah kita tidak habis-habis mengancam dan menakut-nakutkan umat beragama. Ada majlis agama Islam negeri, terbit buku tentang bahaya gerakan Kristianisasi serta kekeliruan aliran-aliran sesat, dan fahaman songsang, agar umat dapat siap siaga kukuhkan akidah.

Tanpa disedari, timbul rasa curiga umat kepada kelompok atau aliran agama berbeza. Pemikiran ala teror mengalir di dalam fikiran umat beragama - disebar dan meracuni pemikiran umat. Misalnya, mengatakan agama orang lain tidak betul, menuduh agama lain berdasarkan hujah Quran.

Seharusnya, di tengah-tengah keberagaman, jangan buat provokasi antara agama. Jangan sesekali cuba usik emosi umat beragama. Malah, jangan dipaksakan satu keyakinan. Itu hanya merosakkan keharmonian. Malangnya, isu sensitiviti agama tidak habis-habis.

Andai setiap penganut agama angkuh dalam pertahankan kebenarannya, selamanya kita tidak akan mencapai keharmonian sejati. Bukan kerana soal lemah akidah – berbolak balik – saat melihat salib atau membaca Bible tetapi sikap keberagaman yang gagal ditunjukkan – semua agama. Umat berkelahi hingga meleret kepada persoalan agama siapa paling benar. Ini menganggu kehidupan beragama.

Dialog tidak mungkin jadi kerana hanya bermatlamatkan untuk menegakkan agama masing-masing. Bukan mencari titik temu. Tapi memburu titik kejuaraan mahu mengungguli keimanan terhadap kepercayaan lain.

Betapa aneh, paradigma beragama hanya pada agama tertentu sahaja. Lantas, agama yang dianggap paling benar sahaja layak menyebarkan nilai. Akhirnya kita memaksakan nilai berdasarkan keimanan kita sahaja.

Justeru, apabila wujud pertentangan nilai yang berbeza dengan agama kita, mudah terpercik rasa terancam. Maka kita mula berperang di tengah kerencaman masyarakat silang budaya dan agama.

Maka, kita rasakan jalan dakwah dapat mengembalikan kekuatan beragama. Kita rasa lebih selamat andai kita mendakwahkan kebenaran agama dan menolak agama lain. Lalu, atas sikap mengada-ada, kita menghumban umat dalam kebodohan, sarat emosi dan tidak matang.

Luapan emosi, sentimen, dicampur aduk dengan semangat keagamaan hingga berlaku pergeseran. Umat gagal memahami persoalan dasar sebaliknya tertumpu kepada dakwah.

Contohnya, Kristianisasi dilarang. Umat bimbang ajaran Kristian berleluasa. Bimbang anak Melayu Islam murtad. Sebaliknya majlis agama Islam saban tahun sakan berbelanja mendakwahkan ajaran Islam supaya tersebar luas.

Kelakarnya, kita lebih takut dan marah-marah pada gerakan Kristianisasi. Kita marah agama lain sebarkan dakyah agama mereka, tetapi kita tidak segan silu memekik Islamisasi. Tanpa sedar, kita melanggar batas kehidupan majmuk agama.

Paradigma beragama kita ditakuk lama – berlumba mengejar dakwah convert – offensive argumentation, confrontationalist. Bukan akhlak. Jauh sekali berlumba-lumba kejar kebaikan. Kerana di benak fikiran kita hanya dakwah, dakwah, dakwah.

Misalnya, berdebat sekalipun, mahu Islam tampak paling unggul. Agama orang lain di bawah Islam. Justeru, setiap penganut tidak mahu agama direndahkan. Tanpa semangat toleransi, maka umat berkelahi tentang agama. Tiada hentinya. Umat dipaksa menganut kepercayaan agama yang dianggap paling unggul dalam dialog beragama.

Gerakan dakwah adalah bukti bahawa mereka suka berdolak dalik. Mereka kata dialog adalah asas perpaduan, lalu mahu menyebarkan kasih sayang, jangan berkelahi. Ironinya mereka merampas kebebasan hak beragama. Mereka membunuh keberagaman yang rencam akhirnya menjadi tunggal.

Dakwah yang merendahkan agama-agama lain kepada umat walau dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu perkara yang tidak boleh diterima - menggugat hak dan prinsip agama. Ibarat menculik anak orang lain dari rumah mereka dan mengajarkan kepada anak itu bahawa ibu bapa mereka tidak benar – sedangkan tiada paksaan dalam agama.

Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Mufasir Islam al-Zamakhshari dalam Tafsir al-Kassyaf menyebutkan, huraian ayat itu menandakan Tuhan tidak memaksa pilihan manusia. Tidak ada paksaan dalam keimanan. Bahkan semua manusia punya hak menentukan pilihannya.

Tukar paradigma bukan agama

Agama tidak berubah. Sebaliknya paradigma - membentuk acuan agama. Selama ini paradigma umat terhadap agama hanya ‘soal mengislamkan dan mengkristiankan’. Kita rasa puas bila bilangan umat agama kita bertambah. Sedangkan Nabi diutuskan membetulkan paradigma masyarakat jahiliah. Bukan agama. Kerana itu pesan moral mampu mengubah manusia menuju kebenaran.

Pemikir filsafat Hans Küng, dalam karyanya Global Responsibility: In Search of a New World Ethic menyebut salah satu sebab utama konflik antara penganut agama yang berbeza, kerana paradigma lama masih wujud di samping paradigma baru yang terbentuk hasil interaksi agama dengan perkembangan semasa. Perbezaan metodologi dalam menghadapi perubahan menimbulkan pertentangan andai umat masih kekal ditakuk paradigma lama.

Contohnya, agamanya tetap kekal Kristian namun paradigmanya berubah. Begitu juga agama Islam tidak berubah. Yang berubah paradigma. Sebaliknya umat mundur kerana tukar agama tetapi tidak paradigma beragama.

Maka, janganlah terkejut sekiranya umat masih tidak berhenti bergaduh – soal agama dan bangsa. Kerana paradigma kita terhadap agama seputar “dakwah”. Kita fikir, untuk majukan Islam, mesti menarik umat tukar agama, peluk Islam. Sebaliknya kita perlukan paradigma baharu.

Kita bayangkan sebuah gambar yang sering ditukar bingkai (frame). Agama umpama gambar iaitu objek – tidak berubah sesekali. Cuma manusia atau penganutnya harus berubah. Berfikir, menikmati, menafsirkan mengikut pendekatan paling maju – seiring kontekstual.

Maka benarlah kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof. Katanya, orang Melayu terus mundur jika isu agama dan bangsa seringkali diperdendangkan. Namun kenyataan ini terus jadi paradoks andai Mujahid terus merelakan institusi di bawahnya diratah dengan gejala dakwah sebegini. Sepatutnya, beliau menangkis segala bentuk yang mengeruhkan hubungan antara umat beragama. Tumpu pada gerakan toleransi beragama.

Melayu Islam mundur bukan kerana agama dan bangsa, sebaliknya selonggok agenda dakwah Islamisasi di benak fikiran mereka. Di benak penganut agama Kristian pula, ada Kristianisasi. Begitu juga penganut agama lain.

Justeru, keharmonian bukan dicapai sekadar swafoto mengunjungi rumah ibadat, menziarahi perayaan agama. Baiknya sediakan pentas dialog interfaith dan membina kesedaran paradigma pemikiran umat di dalam memahami ajaran agama-agama lain.

Contohnya, semua penganut agama berlumba-lumba membangunkan nilai kebaikan, memperkasa ekonomi rakyat, bebas kemiskinan, memupuk kebersamaan, mengembangkan kerja-kerja kemanusiaan, dan menyebarkan cinta kasih. Kesatuan agama-agama dapat dialihkan pada area praktik sosial  – membahas kualiti pendidikan dan mengatasi kemiskinan, ketidakadilan, kekerasan, kebodohan, ketimpangan gender, penyalahgunaan harta dan lain.

Perkara ini tidak terhasil tanpa mengubah dahulu paradigma beragama umat – kerja bina damai. Maka, perkasakan gerakan bina damai. Bukan gerakan dakwah agama.

Persoalannya, adakah selama ini institusi agama di Malaysia sudah memaksimumkan usaha memurnikan keharmonian?

Tanyalah iman dan tolehlah keadaan beragama masyarakat hari ini. Toleransi bukan sekadar mengakui semua agama. Tapi hormat dan empati kepada penganut agama lain. Ejekan, provokasi, memburukkan keimanan agama lain adalah salah satu asbab, mengapa perpaduan sukar dilaksanakan. Sensitiviti budaya beragama tidak dijaga. Termasuklah agama apa pun, mesti menghormati kebebasan beragama.

Bayangkan penganut Kristian, Hindu datang kepada kita lalu berhujah membetulkan ajaran agama Islam berdasarkan kitab suci mereka, Bible. Bagaimanakan reaksi kita?

Maka menjaga harmoni dan persatuan penganut agama-agama yang berbeza, hendaknya tidak ada gerakan-gerakan dakwah antara umat Kristian, Islam dan agama lain. Cukuplah pesan Tuhan: “Bagimu agamamu, dan bagiku agamaku” (109: 1-6). – 24 Januari, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen