Skandal seksual Hollywood, Weinstein lantik peguam baharu


Harvey Weinstein yang dahulunya nama besar Hollywood tersungkur selepas lebih 80 wanita termasuk pelakon ternama Ashley Judd dan Angelina Jolie menuduhnya melakukan gangguan dan serangan seksual. – Gambar EPA, 24 Januari, 2019.

HARVEY Weinstein, penerbit Hollywood yang berdepan pertuduhan jenayah seksual mengupah pasukan peguam baharu selepas peguam tersohor New York Ben Brafman menarik diri mewakilinya.

Jose Baez, peguam dari Florida berkata beliau dan profesor perundangan Harvard, Ronald Sullivan akan membela penerbit berusia 66 tahun itu yang didakwa dengan dua pertuduhan jenayah seksual di New York.

Baez pada 2008 jadi tumpuan kerana berjaya mempertahankan Casey Anthony, seorang ibu yang didakwa membunuh anak perempuannya, dan Sullivan pula dianggap pakar kes jenayah yang “mustahil” untuk dipertahankan.

“En Weinstein sekali lagi bertegas beliau tidak bersalah dalam hal ini dan kami akan membantu En Weinstein dalam pembelaannya.”

Sejak Oktober 2017, Weinstein dituduh melakukan gangguan dan serangan seksual kepada lebih 80 wanita termasuklah pelakon tersohor Ashley Judd dan Angelina Jolie.

Kes yang dilaporkan di New York adalah satu-satunya kes yang mencetuskan prosiding jenayah terhadap Weinstein.

Brafman sebelum ini berjaya mengugurkan kes serangan seksual yang dihadapi bekas ketua IMF Dominique Strauss-Kahn pada 2011.

Beliau juga menang kes Weinstein pada Oktober lalu.

Pendakwa raya Manhattan yang pada mulanya mendakwa Weinstein menyerang tiga wanita terpaksa mengugurkan pertuduhan selepas wujud kesilapan dalam siasatan.

Tetapi pendakwaan berkaitan dua lagi wanita masih diteruskan.

Pendengaran kes seterusnya dijadualkan pada 7 Mac, dan perbicaraan mungkin bermula Mei.

Baez baru-baru ini mempertahankan pelakon Rose McGowan, salah seorang mangsa serangan seksual terhadap penerbit Hollywood itu, seterusnya mencetuskan skandal Weinstein pada Oktober 2017 sebelum berkembang jadi pergerakan #MeToo di seluruh dunia. – AFP, 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen