BEKAS gabenor Jakarta dijangka dibebaskan dari penjara hari ini, hampir dua tahun selepas beliau disabitkan bersalah menghina agama Islam yang mencetuskan kebimbangan berkaitan toleransi beragama dalam negara paling ramai penganut Islam itu.
Basuki Tjahaja Purnama- gabenor bukan Islam pertama Jakarta dalam tempoh setengah abad dan pemimpin keturunan Cina pertamanya- adalah politikus popular yang dipuji kerana usaha mengurangkan kesesakan luar biasa bandar mega itu serta perang memerangi rasuah dilancarnya.
Tetapi kejatuhan mendadaknya selepas komen yang dibuat ketika pemilihan semula, sehingga menyebabkan beliau didakwa menghina Islam.
Rakaman kenyataannya tular, mencetuskan protes besar-besaran di Jakarta, diketuai kumpulan radikal yang menentang pemilihan pemimpin bukan Islam dan didorong oleh musuh politiknya.
Beliau kalah pilihan raya kepada seorang politikus Islam dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2017.
Ia hukuman yang berat- malah pendakwa raya hanya memohon tempoh kelakuan baik untuk politikus berusia 52 tahun itu, lebih mesra dan dikenali ramai dengan panggilan Ahok.
Kesnya menarik perhatian dunia, malah PBB menggesa Indonesia, negara dengan 260 juta penduduk itu untuk menyemak semula undang-undang hina agama yang kolot itu.
Dakwaan ke atas Purnama tertumpu kepada kenyataan dikeluarkan tentang lawan politiknya beragama Islam yang menggunakan ayat Al-Quran untuk meraih undi, yang diputuskan hakim menghina agama Islam.
Bantahan besar-besaran menggesa Ahok dipenjara mencetuskan kebimbangan pengaruh radikal Islam berkembang di negara Asia Tenggara itu, dalam rantau yang menyaksikan Islam yang lebih toleransi sedang berdepan ancaman.
Undang-undang hina agama Indonesia menyatakan sesiapa sahaja boleh disabitkan bersalah kerana “meluahkan rasa tidak puas hati” terhadap mana-mana agama, dan boleh dipenjara sehingga lima tahun.
Ia terpakai kepada enam agama rasmi termasuklah Kristian, Buddha dan Hindu, tetapi kebanyakan kes pendakwaan berkaitan dengan Islam yang dianuti hampir 90% penduduknya.
Antara kes tumpuan adalah seorang wanita Cina Buddha yang disabit bersalah pada Ogos kerana menghina Islam hanya kerana meminta masjid kejiranannya merendahkan bunyi pembesar suara. Beliau dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Komen wanita tersebut tentang sistem pembesar suara masjid mencetuskan rusuhan pada 2016 yang menyaksikan perusuh Islam merosakkan tokong Buddha, memaksa sebahagian penduduk Cina kawasan itu melarikan diri. – AFP, 24 Januari, 2019.
Komen