Maduro umum Venezuela putus hubungan diplomatik dengan AS


Krisis politik Venezuela menuju perkembangan baharu selepas pemimpin pembangkang mengisytiharkan dirinya presiden sementara dan disokong AS, menyebabkan Nicolas Maduro (gambar) memutuskan hubungan diplomatik dengan AS dan mengusir kedutaan AS. – Gambar EPA, 24 Januari, 2019.

PRESIDEN Venezuela Nicoals Maduro pada Rabu mengumumkan beliau memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat selepas Donald Trump mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai “presiden interim” negara Amerika Latin itu.

“Saya membuat keputusan memutuskan hubungan diplomatik dan politik dengan kerajaan penjajah Amerika Syarikat,” kata Maduro kepada ribuan penyokongnya di Caracas.

“Keluar! Tinggalkan Venezuela, di sini ada maruah,” katanya memberikan delegasi kedutaan AS 72 jam untuk meninggalkan negara itu.

Guaido, ketua pembangkang mencetuskan kontroversi pada Rabu selepas memberitahu ribuan penyokongnya yang beliau mengisytiharkan dirinya sebagai “pemangku presiden.”

Trump adalah pemimpin asing pertama yang menyatakan sokongan kepada Guaido, menyifatkan Dewan Negara sebagai “satu-satunya cabang kerajaan yang sah yang dipilih rakyat Venezuela.”

Bercakap daripada balkoni istana presiden di Caracas, Maduro menuduh kerajaan AS “cuba melakukan rampasan kuasa.”

“Dasar ekstremis kerajaan Donald Trump terhadap Venezuela adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang sangat serius,” kata Maduro.

“Cuba menubuhkan kerajaan diluar batasan perlembagaan, kita tak boleh terima.”

Beliau menggesa agensi kerajaan Venezuela untuk bersatu demi demokrasi dan mengulangi desakan kesetiaan pasukan tentera.

“Sentiasa setia, tidak sesekali khianat!” – AFP, 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen