Google buat rayuan denda 50 juta euro dikenakan Perancis


Denda pecah rekod itu dikenakan Perancis kerana kegagalan Google mematuhi undang-undang ketat Kesatuan Eropah tentang penggunaan data peribadi. – Gambar EPA, 24 Januari, 2019.

GOOGLE semalam berkata mereka akan merayu denda pecah rekod dikenakan penyelia data Perancis mencecah 50 juta euro kerana gagal mematuhi Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah yang ketat.

“Kami bekerja keras untuk membentuk proses keizinan GDPR untuk iklan tertumpu peribadi yang telus dan sejelas mungkin, berdasarkan garis panduan penyeliaan dan ujian pengalaman pengguna,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami juga bimbang dengan kesan penghakiman ini ke atas penerbit, pencipta kandungan asli dan syarikat teknologi di Eropah dan seluruh dunia,” tambahnya.

“Untuk semua sebab itu, kami memutuskan untuk membuat rayuan.”

Agensi pemantauan data Perancis, CNIL mengumumkan denda itu Isnin lalu, yang pertama seumpamanya di Eropah kerana gagal mematuhi dasar keizinan data yang sangat ketat.

Agensi itu berkata Google menyukarkan pengguna untuk memahami dan menguruskan bagaimana data peribadi mereka digunakan, terutama sekali dalam hal berkaitan pengiklanan bersasar.

Penghakiman itu dikeluarkan susulan aduan dibuat dua kumpulan pemantau Mei lepas, tidak lama selepas garis panduan itu berkuatkuasa.

Syarikat yang tidak berpangkalan di Eropah juga perlu mematuhi undang-undang ketat itu sekiranya mereka mahu laman dan khidmat mereka digunakan pengguna Eropah.

CNIL mendapati walaupun wujud perubahan dilakukan Google tahun lepas, ia masih gagal mematuhi semangat undang-undang baharu itu.

Katanya, denda pecah rekod 50 juta euro menggambarkan keseriusan pelanggaran yang berlaku serta kedudukan dominan Google dalam pasaran Android di Perancis.

“Setiap hari ribuan pengguna Perancis mencipta akaun Google di telefon pintar mereka,” kata CNIL.

“Kesannya, syarikat itu mempunyai tanggungjawab khas bagi menghormati tanggungjawab mereka dalam hal ini (penggunaan data peribadi).” – AFP, 24 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen