BN main isu kaum dalam kempen, dakwa calon Pakatan 


Ravin Palanisamy

Calon Pakatan Harapan M. Manogaran ketika menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands di Tanah Rata hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Januari, 2019

CALON Pakatan Harapan pilihan raya kecil Cameron Highlands M. Manogaran mendakwa Barisan Nasional menggunakan isu perkauman dalam kempen mereka untuk mengalih pengundi daripada mengundi PH.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam mendakwa BN bercakap mengenai latar belakang kaumnya dalam kempen mereka, yang katanya sangat menyakitkan hati. 

“Mereka memberitahu kepada masyarakat agar jangan undi saya kerana saya berketurunan India,” katanya dalam satu ceramah di Tanah Rata. 

Manogaran, yang bertanding pada kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan PRU14 berkata, beliau bertanding secara adil dan menghormati semua yang bertanding pada pilihan raya kecil ini. 

Beliau juga berkata, pilihan raya kecil ini bukan mengenai kaum atau agama tetapi pertandingan antara PH dan BN.

Sebahagian daripada penduduk yang hadir pada sesi ceramah Pakatan Harapan yang diadakan di Tanah Rata malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Januari, 2019 

“Saya tidak mahu isu perkauman dibangkitkan kerana saya mahu menjadi ahli Parlimen untuk seluruh masyarakat dan penduduk Cameron Highlands.

“Kita negara yang menggalakkan keharmonian dan perpaduan, jadi jangan rosakkannya,” katanya di hadapan kira-kira 500 penduduk yang hadir pada ceramah berkenaan. 

Manogaran berjata, pilihan raya kecil ini sepatutnya memfokuskan kepada pembangunan Cameron Highlands kerana banyak isu yang dibangkitkan dan beliau berjanji untuk menyelesaikannya satu persatu sekiranya dipilih sebagai ahli Parlimen. 

“Isu di sini tidak boleh diselesaikan dalam satu malam tetapi lambat laun ia pasti boleh diselesaikan dengan bantuan penduduk Cameron Highlands,” kata Manogaran. – 23 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen