SULTAN Pahang Sultan Abdullah Ahmad Shah dijangka sesuai dipilih sebagai calon utama Yang di-Pertuan Agong ke-16, kata pakar perlembagaan Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Beliau percaya Raja-Raja Melayu akan mengikut tertib sistem giliran yang termaktub dalam perlembagaan, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Secara amalan pengundian sebelum ini, Raja-raja akan menghormati giliran yang telah termaktub. Ia bagi mengelakkan persepsi bahawa adanya politiking dalam pemilihan YDPA,” katanya.
Jelasnya, mengikut tatacara giliran pusingan ini, Sultan Pahang merupakan calon yang perlu diundi oleh Raja-Raja Melayu terlebih dahulu, diikuti Sultan Johor dan Sultan Perak.
Tatatacara in dipandu mengikut Seksyen 4(3) dan Seksyen 4(4) Jadual III Perlembagaan Persekutuan,” kata Wan Ahmad Fauzi.
“Maka tawaran akan dimulakan dengan Sultan Abdullah sebagai calon pertama. Jika baginda setuju, menurut Seksyen 3 Jadual III, Penyimpan Mohor Besar hendaklah isytihar Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke 16,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Yang di-Pertuan Agong hanya boleh dilantik dalam kalangan Raja yang memberi perkenan untuk dipilih.
Proses pelantikan hanya boleh dibuat oleh Majlis Raja-raja, melalui proses pengundian sulit oleh Raja-raja.
Mengikut tatacara pusingan pertama, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih.
Namun peraturan ini tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Pusingan ini berakhir selepas Sultan Perak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kesembilan.
Selepas itu senarai baru yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong Petama hingga Kesembilan).
Wan Ahmad Fauzi menjelaskan senarai pemilihan itu mempunyai tujuan murni tersendiri dan melambangkan ketinggian Institusi Raja Melayu yang memelihara tradisi dan amalan syura.
Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat esok berhak membuat ketetapan secara undi sulit menolak pelantikan seseorang raja yang didapati lemah akal atau tubuh daripada dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Bagaimanapun Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudahpun dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI pada 15 Januari lalu, menggantikan ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang tidak sihat.
“Tetapi berbeza dengan Sultan Abdullah yang sihat tubuh badannya, tiada masalah untuk menjalankan tugas sebagai ketua negara,” kata Wan Ahmad Fauzi.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja esok dibuat susulan tindakan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V bertindak turun takhta pada awal bulan ini.
Sultan Muhammad V yang ditabalkan sebagai Agong pada 24 April 2017 melepaskan jawatan itu tanpa menyatakan sebabnya.
Berikut adalah antara soalan yang lazim ditanya mengenai proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong.
Langkah awal sebelum pemilihan
Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.
Prosiding pemilihan
Apabila Majlis Raja-raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri tidak hadir walaupun mereka anggota Majlis.
Pemilihan dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama dan kemudiannya dimasukkan dalam peti undi.
Kertas undi dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.
Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.
Pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Selepas tamat urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula disempurnakan mengikut proses yang sama semasa proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong.
Yang tidak layak dipilih
Perlembagaan memperuntukkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum dewasa dan Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih.
Majlis Raja-raja juga mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.
Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.
Selepas tamat urusan pemilihan
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat mengenai mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Perdana Menteri kemudiannya akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas baginda menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi. – 23 Januari, 2019
Komen