Abu Bakar Baasyir tidak jadi bebas esok


Ulama Indonesia Abu Bakar Baasyir bertegas enggan menyatakan patuh pada Pancasila, syarat yang dikenakan ke atas semua tahanan kes keganasan untuk bebas.– Gambar EPA, 23 Januari, 2019

ULAMA Indonesia Abu Bakar Baasyir tidak jadi dibebaskan dari penjara esok setelah beliau bertegas enggan menyatakan patuh pada Pancasila, syarat yang dikenakan ke atas semua tahanan kes keganasan untuk bebas, lapor media republik itu.

Ketua Staf Presiden, Moeldoko menjelaskan pembebasan itu bukan dibatalkan oleh Presiden Joko Widodo atau kerajaan tetapi ditolak oleh Abu Bakar sendiri.

“Presiden memberikan pendekatan kemanusiaan tapi ada prinsip yang harus dipenuhi,” katanya, seperti dipetik Tempo.

Jokowi minggu lalu bercadang membebaskan Abu Bakar atas alasan kemanusian kerana umurnya yang tua dan keadaan kesihatannya yang merosot.

Abu Bakar, 81, dijadual dibebaskan esok.

Penasihat undang-undang presiden, Yusril Ihza Mahendra bagaimanapun mendedahkan Abu Bakar enggan berikrar setia kepada Pancasila sebaliknya menegaskan setianya hanya pada Islam.

Abu Bakar sudah menjalani lebih dua pertiga tempoh hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada 2011. Beliau ditahan pada 2009 atas dakwaan mendukung keganasan.

Beliau ditahan di penjara setelah sabit tuduhan menaja kem latihan teroris di Aceh.

Abu Bakar adalah ketua Jemaah Islamiyah yang dikaitkan dengan serangan bom di Bali pada Disember 2002 yang membunuh 202 orang, 88 daripadanya rakyat Australia.

Tiga lelaki menjalani hukuman mati bersabit serangan itu iaitu Imam Samudra, Amrozi dan Ali Ghufron pada 9 November 2008.

Berita pembebasan Abu Bakar, yang kini ditahan di penjara di Bogor, mendapat reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk keluarga mangsa serangan bom di Indonesia, dan kerajaan Australia.

Media semalam melaporkan Indonesia menyemak semula rancangan membebaskan Abu Bakar selepas Perdana Menteri Australia Scott Morrison meminta Jokowi dan Indonesia “menunjukkan hormat” kepada Australia.

Semalam, Jokowi juga dipetik berkata beliau tidak campur tangan atas urusan pembebasan Abu Bakar kerana pembebasannya adalah bersyarat dan bukan pengampunan, dan pembebasan bersyarat mesti mematuhi peraturan. – 23 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen