KOREA Selatan melancarkan program kerajaan-awam secara besar-besaran pada Rabu bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh dengan menghantar sejumlah 100,000 unit dapur gas, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan agensi bantuan milik Seoul.
Agensi Kerjasama Antarabangsa Korea (KOICA) telah bergabung dengan Join Together Society (JTS), sebuah organisasi bantuan antarabangsa yang berpangkalan di Seoul, dan Program Makanan Sedunia (WFP) untuk melaksanakan projek itu yang memanfaatkan setengah juta pelarian di Cox’s Bazar.
Ia akan membolehkan mereka memasak nasi yang dibekalkan oleh WFP berbanding terpaksa berdepan kesulitan mencari kayu api, yang mengakibatkan penebangan hutan dan kemalangan.
Sejumlah sejuta orang Rohingya telah berlindung di kawasan itu selepas melarikan diri daripada krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di Negeri Rakhine, Myanmar.
KOICA menyumbang sebanyak 400 juta won (AS$354,000) untuk projek itu manakala JTS memperuntuk 1 bilion won (AS$886,675).
WFP akan bertanggungjawab membekalkan bahan api dan mengajar cara menggunakan dapur itu. – Bernama, 23 Januari, 2019.
Komen