Jawatankuasa pilihan khas bincang akta gangguan seksual bulan depan


Alfian Z.M. Tahir

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender akan membincangkannya pada mesyuarat pertama mereka 8 Februari, kata Pengerusinya, Nor Azrina Surip selepas melancarkan laporan “The Status of Women's Human Rights: 24 Years of Cedaw in Malaysia” di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Januari, 2019.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender akan membincangkan Akta Anti Gangguan Seksual dalam mesyuarat pertamanya selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Nor Azrina Surip berkata jawatankuasa tersebut telah memilih enam ahli baharu dan akan mengadakan mesyuarat pada 8 Februari.

“Kami akan bincangkan mengenai gangguan seksual dan undang-undang berkaitan. Kami juga berharap ia akan dapat digubal,” kata Nor Azrina selepas melancarkan laporan “The Status of Women’s Human Rights: 24 Years of Cedaw in Malaysia” di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, ahli Parlimen Merbok itu berkata terdapat ahli-ahli Parlimen juga memberi respons positif mengenai Akta Kesaksaman Gender yang dicadangkan.

“Ada perkembangan baik, dan kami juga libatkan kumpulan sivil yang berpengalaman seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.”

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata Putrajaya sedang berusaha untuk memperkenalkan undang-undang anti gangguan seksual di tempat kerja.

Badan Wartawan Malaysia (IoJ) telah menyuarakan sokongan ke arah usaha tersebut selepas stesen radio BFM 89.9 berkata ia menjalankan siasatan terhadap dakwaan gangguan seksual di tempat kerja susulan tersebarnya e-mel berhubung perkara itu.

IoJ berkata dakwaan tersebut membuktikan bahawa undang-undang bagi mengurangkan, kalaupun tidak menghapuskan gangguan seksual di tempat kerja.

“Ini menunjukkan ada masalah yang lebih besar yang dihadapi industri media, iaitu mangsa yang kebanyakannya wanita tidak berani bersuara ekoran rasa bimbang akan dihukum atau diserang orang awam kerana mempertahankan hak mereka.” – 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen