RAJA Thailand mengeluarkan dekri diraja menyokong pilihan raya umum pertama diadakan sejak rampasan kuasa 2014, kata istana pada Rabu, tarikh pilihan raya akan diumumkan tidak lama lagi.
Dekri itu dikeluarkan oleh Gazet Diraja, meminta pemilihan ahli Parlimen menerusi pilihan raya dan memberikan tempoh lima hari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengumumkan tarikh.
Pilihan raya itu yang pertama sejak junta merampas kuasa pentadbiran Yingluck Shinawatra hampir lima tahun lepas, menulis semula Perlembagaan, mendiamkan penentang dan melantik sekutu tentera di semua lapisan pentadbiran.
Junta menyebut yang pilihan raya akan diadakan sebelum Februari, tetapi kelewatan Raja Maha Vajiralongkorn menandatangani dekri menyebabkan pilihan raya lambat beberapa minggu.
Dekri tersebut bermakna tempoh berkempen secara rasminya bermula, walaupun parti baharu- termasuk yang rapat dengan tentera, selain yang setia kepada keluarga Shinawatra- boleh mula bermesyuarat dan merekrut calon.
Penganalisis berkata pihak tentera menggunakan proksi bagi terus berkuasa dalam kerajaan dengan pemimpin junta Prayut Chan-O-Cha diangkat jadi ketua pemimpin awam selepas pilihan raya.
Parti berkaitan tentera Phalang Pracharat diketuai oleh ahli junta dalam Kabinet pula mula merekrut kawasan pendalaman kubu kuat Yingluck dan abangnya Thaksin yang digulingkan dalam satu lagi rampasan kuasa 2006.
Persoalan kekal sama ada Pheu Thai, parti utama Shinawatra masih meraih kesetiaan pengundi miskin, pendalaman utara dan tenggara negara itu tanpa gandingan dua beradik disayangi ramai itu.
Kedua-dua mereka kini hidup dalam buangan bagi mengelak pertuduhan jenayah yang didakwa mereka bermotif politik.
Thanksin melancarkan podcast mingguan berkongsi pandangan tentang masyarakat dan ekonomi Thailand, manakala Yingluck melakukan jelajah bergambar.
Walaupun pesaing junta berjaya dalam pilihan raya, mana-mana kerajaan awam baharu dijangka bergelut dengan Perlembagaan dirangka tentera.
Perlembagaan baharu membenarkan dewan tinggi dilantik sepenuh junta yang menggariskan strategi pentadbiran 20 tahun dalam pelbagai bidang, ekonomi hingga pendidikan.
“Awak boleh gelar ia demokrasi hibrid,” kata Somjai Phagaphasvivat, penganalisis politik dan pensyarah Universiti Thammasat.
Tiadanya tarikh pasti pilihan raya mencetuskan tunjuk perasaan kecil di Bangkok bulan ini, tetapi penganalisis meramalkan ia tidak akan bertukar ganas yang boleh melumpuhkan Thailand seperti yang berlaku sejak kejatuhan Thaksin.
Pilihan raya dijadualkan berlangsung sebelum pertabalan raja Thailand pada awal Mei. – AFP, 23 Januari, 2019.
Komen