MENTERI Pentadbiran Wilayah Cameroon Paul Atanga Nji pada Selasa berkata kerajaan membantu lebih 60,000 orang tersingkir secara dalaman (IDP) di wilayah bergolak Barat Laut dan Barat Daya yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Setakat hari ini, sejumlah 60,345 rakyat Cameroon menerima bantuan kemanusiaan di kedua-dua rantau. Terdapat juga sejumlah 1,200 keluarga yang kembali ke rumah masing-masing,” kata Nji kepada pemberita di Yaounde ketika bermesyuarat dengan tujuh lagi menteri bagi menilai situasi kemanusiaan di rantau bergolak itu.
Nji menegaskan bahawa organisasi kemanusiaan lain yang ingin membantu IDP perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan, lapor agensi berita China Xinhua.
“Anda sama sekali tidak dibenarkan ke lapangan dan memulakan aktiviti tanpa kelulusan rasmi kerajaan kerana jika ia tidak dilakukan dengan betul, terdapat risiko bantuan akan jatuh ke tangan pengganas,” kata Nji.
Beliau berkata pusat pemulihan telahpun ditubuhkan bagi menampung puak pemisah yang dijangka meletakkan senjata mereka.
“Apabila anda meletakkan senjata anda, anda akan dibawa ke pusat tersebut di mana anda akan mendapat kemudahan kesihatan, psikologi dan latihan,” kata Nji.
Pemisah bersenjata bertempur dengan pasukan keselamatan kerajaan di kedua-dua rantau sejak November 2017.
Mereka berhasrat untuk berpecah dari Cameroon yang majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Perancis dan menubuhkan sebuah negara baharu dikenali sebagai “Ambazonia.”
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa lebih 430,000 orang telah tersingkir secara dalaman disebabkan konflik itu.
Dalam amanat akhir tahun beliau, Presiden Cameroon Paul Biya berkata beliau sedia meneruskan dialog dengan “mereka yang memiliki semangat muhibah” di rantau bergolak itu namun memberi amaran bahawa pemisah bersenjata yang enggan meletakkan senjata akan “dineutralkan”. – Bernama, 23 Januari, 2019.
Komen