KEBANYAKAN mereka tidak pernah begitu terdesak sampai terpaksa minta bantuan makanan dari bank makanan, tetapi selepas sebulan kerajaan AS ditutup, penjawat awam negara itu antara yang beratur di Brooklyn meminta bantuan kehidupan asas.
Pegawai kastam, cukai dan kecemasan antara mereka yang beratur, tidak mendapat gaji dan tidak ada kerja sejak 22 Disember lalu.
Perkhidmatan lain yang dianggap penting termasuklah sektor pengangkutan dan penjara terpaksa bekerja tanpa gaji, mengambil peluang waktu rehat tengahari untuk ke pusat bantuan.
Sukarelawan menyusun meja edaran di lobi Barclays Center, New York yang selalunya jadi tempat konsert dan kebajikan lain.
Mereka perlu mendaftar dahulu sebelum memenuhkan beg dengan makanan dalam tin, ubi kentang, ayam, anggur dan peralatan asas kebersihan.
“Saya datang ke sini untuk ambil sedikit makanan, jujurnya,” kata Antoinette Peek-Williams, pekerja di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang menempuh perjalanan sejam menggunakan kereta api dari Harlem.
“Apa pun saya boleh berjimat dan gunakannya untuk benda lain- itu yang saya cuba buat,” katanya.
Sejak proses rundingan belanjawan gagal, wanita berusia 62 tahun itu terpaksa “kais pagi makan pagi- mengawal apa yang saya makan, belanja dan tidak boros.”
“Berdoa supaya mereka boleh buat keputusan lebih pantas.”
Beliau berharap dapat kembali bekerja pada 1 Februari, harapan yang kini semakin pudar.
“Saya orang yang selalu terdesak,” kata ibu kepada seorang anak yang sedang belajar di universiti itu.
“Saya perlu terus berharap,” katanya.
“Jika tidak, saya tidak ada apa-apa lagi.”
Sentimen itu turut dikongsi Chante Johnson, seorang pentadbir percukaian.
Tetapi “ia semakin sukar,” katanya yang berusia 48 tahun itu.
“Seolah-olah semuanya akan terhenti, tamat.”
Tanggungannya seorang anak perempuan dan ibunya, dan berkata beliau tidak lena tidur atau berselera makan selepas tidak bekerja.
“Saya hanya mahu mereka buka semula,” katanya.
“Mula berbincang dan buka semula kerajaan.”
Bagi penjawat awam yang dipaksa bekerja tanpa gaji, situasi lebih menekan.
Mereka hanya boleh bercerita dengan syarat identiti dirahsiakan.
“Ia sangat menekan,” kata ibu tunggal berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pengawal penjara di Penjara Pusat Brooklyn.
Beliau datang ke bank makanan itu pada waktu rehat tengahari untuk mendapatkan bekalan makanan beberapa hari.
Anak perempuannya akan menamatkan pengajian sekolah, berhasrat mahu ke universiti, tetapi kebimbangan ibu tunggal itu adalah tidak mampu membayar yuran permohonan pun.
Beliau berjaya menangguhkan bayaran bil telefon- yang diperlukan untuk bekerja- walaupun akan dikenakan denda lewat bayaran.
Tetapi, beliau tidak akan mampu bertahan sehingga pertengahan Februari.
“Selepas itu, hendak pergi kerja pun tak mampu,” katanya menambah beliau tidak ada wang untuk mengisi petrol keretanya.
Penutupan kerajaan semakin menuju situasi tidak terkawal apabila lebih ramai keluarga terpaksa keluar daripada rumah yang disewa, kataFrancisco Tezen, ketua pembangunan Bank Makanan New York.
Agensi bantuan makanan paling besar bandar itu itu menganjurkan majlis edaran dengan tajaan korporat.
“Sesuatu seperti ini tidak patut berlaku, ia seolah-olah sama dengan tindakan kami dalam zon bencana,” katanya.
“Bezanya tempoh masa, kebinasaan dan ketidaktentuan sahaja.”
Organisasi sepertinya “boleh membantu”, katanya- “tetapi kami bukanlah penawar kepada penutupan atau dasar yang buruk.”
Beliau enggan mengulas punca situasi itu, tetapi di New York, kubu kuat Demokratik, kesalahan itu diletakkan ke atas pundak Donald Trump.
Pada pandangan Johnson, situasi sempadan tidak seburuk mana sehingga memerlukan peruntukan AS$5.7 bilion untuk membina tembok, seperti yang dituntut presiden.
“Apa yang berlaku? Adakah ada orang Mexico yang membelasahnya ketika kecil jadi dia hendak sangat tembok tu?” tanyanya.
“Kembalikan kami kepada kerja yang kami suka buat.” – AFP, 23 Januari, 2019.
Komen