Perjuangan mansuh hukuman mati berdepan kebimbangan, salah faham


Bede Hong

Penyokong hukuman mati berkata tindakan memansuhkan hukuman itu secara tidak langsung akan memberi isyarat pendirian yang lemah bagi kesalahan jenayah keganasan dan penyeludupan dadah. – Gambar EPA, 23 Januari, 2019.

TIDAK lama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun lalu, pentadbiran baharu mengumumkan ia akan memansuhkan hukuman mati.

Tindakan itu dipuji oleh penyokong hak asasi manusia sebagai langkah positif ke depan untuk memulihkan rekod yang sejak beberapa ketika tercemar di mata masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, rungutan penolakan masyarakat awam tidak lama kemudian bertukar kepada gesaan mendesak oleh ahli politik dan beberapa kumpulan agar hukuman mati dikekalkan.

Hujah utama bagi penyokong hukuman mati dikekalkan adalah ia secara tidak langsung akan memberi isyarat bagi pendirian yang lemah terhadap jenayah keganasan dan penyeludupan dadah, dua kesalahan yang ketika ini dikenakan hukuman mati mandatori.

Ia sebaliknya akan mendedahkan kepada insiden jenayah yang lebih tinggi, menurut dakwaan mereka.

Seorang daripada penyokong yang vokal hukuman mati termasuklah bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, yang mencadangkan agar Kabinet menangguhkan keputusannya memansuhkan hukuman mati, dan sebaliknya mengadakan referendum awam.

“Sekiranya terdapat bukti seseorang itu didakwa melakukan pembunuhan, dia layak mendapat hukuman adil dan sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar minggu lepas.

“Dan bagaimana perasaan keluarga mangsa, jika seorang pembunuh hanya menghabiskan 30 tahun di penjara atau penjara seumur hidup sedangkan mereka kehilangan orang yang mereka cintai?”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menjawab dengan mengatakan referendum tidak akan diadakan, dan keputusan menghapuskan hukuman mati adalah keputusan kolektif Kabinet.

Rang undang-undang membatalkan hukuman mati dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, 11 Mac. Putrajaya mengenakan moratorium terhadap semua hukuman mati.

Aktivis peguam dan aktivis hak asasi manusia Charles Hector Fernandez berkata ramai rakyat Malaysia yang menyokong hukuman mati tidak menyedari ancaman kematian itu tidak terbukti mampu menjadi pencegah kepada jenayah, mengatakan penyeludupan dadah sebagai contoh paling jelas.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan mereka yang didapati bersalah dan digantung hanyalah  menjadi “keldai dadah”, yang turut tertarik dengan wang atau malah ditipu untuk membawa dadah ke dalam negara. Dalang utama sindiket dadah jarang sekali ditangkap atau didakwa.

Fernandez, yang mengetuai NGO Malaysians Against Death Penalty & Torture, berkata pada masa ini, sebarang dadah yang ditemui pada seseorang dianggap sebagai milik individu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata tiada referendum mengenai hukuman mati akan diadakan, dan keputusan menghapuskan hukuman itu adalah keputusan kolektif Kabinet. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

“Anda tidak akan boleh membuktikan kebarangkalian dadah itu bukan anda, atau anda tidak tahu bagaimana ia ada dalam beg, kereta atau bilik anda atau anda tidak terlibat dalam pengedaran dadah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dalam kes jenayah, pendakwaan mempunyai kewajipan mencari bukti, untuk membuktikan semua elemen jenayah.

“(Tetapi) Akta Dadah Berbahaya 1952 bertentangan dengan norma ini. Ia secara tidak adil menukarkan kewajipan mencari (bukti) kepada tertuduh. Ia tidak adil, dan ia mesti dimansuhkan,” katanya.

Fernandez dan penentang hukuman mati yang lain mengatakan, kebiasaannya peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menyebabkan suspek didapati bersalah tanpa kepastian sebenar.

Malaysia adalah antara 23 negara, termasuk kebanyakan negara Asia Tenggara yang masih mengenakan hukuman mati.

Sebanyak 32 kesalahan pada masa ini membawa hukuman mati - 12 daripadanya adalah mandatori, sementara selebihnya adalah mengikut budi bicara para hakim, yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Pada masa ini, terdapat 1,267 pesalah menanti hukuman mati di seluruh negara, 932 orang melibatkan pengedaran dadah, 317 orang melibatkan pembunuhan, 13 orang memiliki senjata haram, lima  penculikan, sembilan yang terlibat dalam pengisytiharan perang terhadap ketua negara, dan dua yang terlibat dalam rompakan kolektif dan pembunuhan. Seorang didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan sekarang.

Menurut Jabatan Penjara, lembaga pengampunan pelbagai negeri mengurangkan hukuman kepada 165 orang yang dijatuhkan hukuman mati sejak 2007 hingga 2017. – 23 Januari, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen