ROMA, filem arahan Alfonso Cuaron, inspirasi zaman kanak-kanaknya era 70-an di Bandar Mexico dan drama komedi gelap The Favourite pada Selasa mengungguli pencalonan Oscar dengan 10 pencalonan setiap satu, Roma turut mencatat sejarah sebagai filem keluaran Netflix pertama mendapat pencalonan Anugerah Filem Terbaik.
Drama romantik muzikal A Star Is Born, filem biografi Dick Cheney, Vice pula mendapat lapan pencalonan, filem adiwira Black Panther dengan tujuh pencalonan.
Anugerah yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari depan itu dipenuhi dengan pelbagai pencalonan yang sudah dijangka dan beberapa yang tidak diramal.
Roma, filem Netflix mencipta sejarah untuk gergasi tayangan dalam talian itu apabila bukan sahaja mendapat pencalonan Filem Terbaik, tetapi juga Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
Ia juga meraih pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Asing Terbaik.
Bagi Cuaron, kejayaan itu adalah kejayaannya yang paling peribadi.
“Kita sedang hidup dalam zaman agung wayang apabila kepelbagaian diraikan penonton,” kata Cuaron dalam kenyataan dikeluarkan Netflix.
Kepelbagaian dunia perfileman dikukuhkan lagi dengan The Favourite, yang mendapat pencalonan untuk ketiga-tiga bintang utamanya- Olivia Colman, Emma Stone dan Rachel Weisz.
Pengarahnya Yorgos Lanthimos juga mendapat pencalonan.
Tetapi, Bradley Cooper, pengarah filem A Star Is Born gagal dicalonkan, walaupun beliau meraih pencalonan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik, bersama-sama rakan pelakonnya- Lady Gaga dan Sam Elliott.
Lapan filem bertanding merebut gelaran Filem Terbaik: Roma, The Favourite, A Star Is Born, BlacKkKlansman, Bohemian Rhapsody, Vice, Green Book dan Black Panther.
Black Panther mencipta sejarah menjadi filem pertama adiwira tercalon dalam kategori utama.
Green Book pula meraih lima pencalonan Oscar, selepas menang Filem Terbaik pada anugerah Porducers Guild of Amerika, petanda baik untuk kejayaan di Oscar.
20 daripada 29 pemenang PGA menang di Oscar, termasuklah filem The Shape of Water tahun lepas.
Tahun lepas, anugerah Oscar gempar dengan skandal Harvey Weinstein, dan gerakan #MeToo.
Tahun ini, majlis juga dipenuhi skandal termasuklah hasrat Oscar untuk memperkenalkan kategori Filem Popular- cadangan yang menerima tentangan ramai, serta kontroversi Kevin Hart yang sepatutnya jadi pengacara.
Dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Christian Bale mendahului pencalonan dengan filem Vice, membawa watak dunia nyata, Dick Cheney. Viggo Mortensen (Green Book), Rami Malek (Bohemian Rhapsody) dan Cooper (A Star Is Born) dan Willem Dafoe (At Eternity’s Gate) juga merebut gelaran itu.
Bagi anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Glenn Close (The Wife) mendahului pencalonan selepas menang Golden Globe dan PGA. Tetapi, Lady Gaga (A Star Is Born) dan Olivia Colman (The Favourite) juga boleh memberi kejutan bersama-sama bintang Roma, Yalitza Aparicio dan Melissa McCarthy menerusi persembahan hebat dalam Can You Ever Forgive Me?.
Dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sam Elliot (A Star Is Born) bakal berdepan cabaran hebat Mahershala Ali (Green Book), manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bakal menemukan perebutan hebat antara Regina King (If Beale Street Could Talk) dan Emma Stone serta Rachel Weisz, kedua-duanya menampilkan persembahan bertenaga dalam The Favourite.
Roma dianggap calon terkedepan untuk menang kategori Filem Asing Terbaik, melawan Capernaum (Lubnan), Cold War (Poland), Never Look Away (Jerman) dan Shoplifters (Jepun). – AFP, 23 Januari, 2019.
Komen