AS akan teruskan proses ekstradisi eksekutif kanan Huawei


Ketua Kewangan Huawei Meng Wanzhou ditahan di Kanada atas permintaan AS, mengeruhkan hubungan dengan China. – Gambar AFP, 23 Januari, 2019.

AMERIKA Syarikat mengesahkan pada Selasa tentang rancangan memohon ekstradisi Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei yang ditahan di Kanada atas permintaannya sebelum tarikh akhir 30 Januari.

“Kami akan meneruskan permohonan ekstradisi defendan Cik Meng Wanzhou, dan akan memenuhi semua tarikh akhir ditetapkan Treati Ekstradisi AS/Kanada,” kata jurucakap Jabatan Kehakiman Marc Raimondi.

Meng, anak perempuan pengasas Huawei, ditahan di Lapangan Terbang Vancouver pada 1 Disember atas permintaan AS yang mendakwanya melanggar sekatan Amerika ke atas Iran.

Beliau sudah dibebaskan dengan ikat jamin Can$10 juta (AS$7.5 juta) dan sedang menunggu perbicaraan ekstradisinya.

Menurut perjanjian kedua-dua negara, AS mempunyai 60 hari selepas tangkapan dibuat untuk membuat permohonan rasmi ekstradisi dari Kanada.

Sebaik permohonan rasmi dibuat, kehakiman Kanada mempunyai 30 hari untuk memulakan prosiding ekstradisi, walaupun proses sebenar boleh mengambil masa berbulan hingga bertahun.

Penahanan Meng mengeruhkan hubungan diplomatik antara Ottawa dan Beijing.

Dua warga Kanada sudah ditahan di China atas alasan keselamatan negara, tindakan yang dianggap serangan balas kepada tangkapan Meng.

Sebuah mahkamah China juga bulan ini menjatuhi hukuman mati kepada seorang warga Kanada kerana penyeludupan dadah selepas perbicaraan semula, lelaki itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun. – AFP, 23 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen