BINTANG R&B Amerika Chris Brown dibebaskan tanpa didakwa pada Selasa selepas ditahan semalam untuk soal siasat berkaitan dakwaan rogol di Paris, kata Pejabat Pendakwa Raya.
Seorang wanita berusia 25 tahun menuduh Brown, bersama-sama pengawal peribadinya dan seorang kawannya menyerangnya di hotel mewah Mandarin Oriental, kata sumber rapat dengan siasatan yang bercakap atas kerahsiaan identiti.
Penyanyi menang Grammy berusia 29 tahun itu ditahan pada Isnin untuk siasatan rogol dan dadah.
Pejabat Pendakwa Raya berkata siasatan masih berjalan, dan peguam Brown, Raphael Chiche berkata anak guamnya “bersemangat” untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan mahu memfailkan saman fitnah.
Wanita itu memberitahu polis yang beliau berjumpa Brown di sebuah kelab malam berhampiran Champs-Elysees bersama-sama sekumpulan wanita lain.
Beliau kemudian bersetuju kembali ke hotel yang terletak dalam kawasan mewah Rue du Faubourg Saint-Honore.
Brown dirakam bergambar berada di Paris minggu lepas untuk menghadiri Minggu Fesyen Lelaki.
Pada Selasa, penyanyi itu menggunakan Instagram untuk menafikan dakwaan tersebut yang didakwanya tindakan tidak hormat karakter dan moralnya.
Menurut Billboard, Brown sudah menjual lebih 100 juta album sering jadi tumpuan media kerana pelbagai kemelut undang-undang sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2009, beliau disabitkan bersalah memukul teman wanitanya ketika itu, Rihanna, sehingga penyanyi wanita tersohor itu tidak hadir ke majlis Anugerah Grammy.
Brown dijatuhi hukuman kelakuan baik selama lima tahun dan enam bulan khidmat masyarakat kerana serangan.
Pada 2014, beliau mengaku bersalah selepas menyerang seorang peminat di Washington dan dituduh melakukan keganasan kepada seorang wanita di Las Vegas.
Dua tahun lepas beliau didakwa dan didakwa atas serangan jenayah menggunakan senjata berbahaya selepas polis menyerbu rumahnya apabila menerima laporan seorang wanita yang penyanyi itu mengancamnya di rumah.
Dan Mei lalu, seorang wanita memfailkan saman terhadap Brown kerana mendakwa salah seorang kawannya merogolnya berkali-kali pada sebuah majlis di kediaman penyanyi itu di Los Angeles pada 2017.
Brown ditemui oleh syarikat rakaman semasa kanak-kanak, ketika bekerja di stesyen minyak ayahnya di Virginia.
Beliau memulakan kerjaya penyanyi dan pada usia 16 tahun, album pertamanya terjual lebih dua juta keping.
Brown sudah mengeluarkan lapan album, enam daripadanya pecah rekod platinum dengan jualan lebih sejuta keping.
Berita penahanan Brown di Paris pertama kali dilaporkan majalah hiburan, Closer. – AFP, 23 Januari, 2019.
Komen