SEORANG pelancong di Hong Kong maut apabila tingkap dari sebuah hotel jatuh menghempapnya semalam.
Tingkap Hotel The Mira itu tertanggal ketika ia sedang dicuci oleh seorang pekerja.
Menurut polis, pelancong wanita dari China berusia 24 tahun itu sedang berjalan di kawasan membeli-belah Tsim Sha Tsui apabila dihempap cermin yang jatuh dari tingkat 16.
Mangsa telah dikejarkan ke hospital namun gagal diselamatkan. Rakan lelakinya, yang juga dihempap cermin tersebut hanya mengalami cedera ringan.
Pekerja hotel itu ditahan polis kerana membahayakan orang ramai. Menurut jurucakap polis, wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan hari ini dan dikehendaki melaporkan diri pada awal Februari.
Pegawai polis Chan Ka-ying juga berkata tingkap hotel itu hanya boleh dibuka oleh pekerja menggunakan kunci khas.
“Kami percaya pekerja itu cuba membuka tingkap dan ia terus jatuh selepas dibuka,” katanya.
Hotel The Mira jadi terkenal pada 2013 apabila pemberi maklumat, Edward Snowden menginap di hotel itu selepas melarikan diri dari Amerika Syarikat (AS) bersama maklumat mengenai agensi keselamatan AS. – AFP, 22 Januari, 2019.
Komen