SEORANG ahli politik Ghana yang berjanji untuk membayar sesiapa yang menyerang seorang wartawan disoal siasat bagi membantu siasatan berhubung kematiannya.
Ahmed Hussein-Suale, yang yang sedang menyiasat satu kes berprofil tinggi mengenai rasuah dalam bola sepak Afrika, ditembak ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya di Accra minggu lalu.
Pembunuhan wartawan tersebut menjadi berita hangat yang mengejutkan di Ghana, sebuah negara yang bangga sebagai wilayah yang memiliki kestabilan demokrasi yang paling baik di rantau yang sering dilanda kancah pergolakan, di samping mempunyai kebebasan media.
Jurucakap polis, David Eklu berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin bahawa pihaknya telah memulakan siasatan “menyeluruh dan ketat” terhadap kematian Husein.
“Satu pasukan detektif dan pakar-pakar lain telah menyoal siasat Kennedy Agyapong, ahli parlimen bagi kawasan Assin Pusat, dan kenyataan beliau telah diambil,” tambahnya.
Nama Agyapong disebut sebagai sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam pendedahan kes rasuah di negara itu. Beliau bercakap di televisyen, dengan menunjukkan gambar Hussein-Suale dan berkata dirinya sendiri akan membayar sesiapa yang telah menyerang wartawan malang itu.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa dirinya “merancang pembunuhan tersbut” dan mengatakan bahawa beliau tidak pernah tersinggung dengan Hussein-Suale.
Namun beliau tetap kritikal terhadap wartawan tersebut dan Anas Aremeyaw Anas, majikan Husein di syarikat produksi yang melaporkan siasatan berhubung rasuah yang berlaku di negara tersebut.
“Kejahatan yang mereka lakukan akan menghantui mereka,” kata Agyapong, yang merupakan anggota Parti Patriotik Baharu Ghana. – AFP, 22 Januari, 2019.
Komen