EU kenakan sekatan 4 ejen risikan Rusia


Dua ejen yang dituduh itu menggunakan nama samaran Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov, tetapi nama yang digunakan dalam perintah larangan adalah Anatoly Chepiga dan Alexander Mishkin. – Gambar EPA, 22 Januari, 2019.

KESATUAN Eropah (EU) pada Isnin mengenakan sekatan terhadap empat anggota perkhidmatan perisikan tentera Rusia dikenali GRU, terlibat dalam insiden cubaan meracun bekas perisik negara itu, Sergei Skripal dan anak perempuannya tahun lalu.

Menurut agensi berita Xinhua, EU menuduh dua ejen, ketua GRU dan timbalannya melakukan perbuatan itu dengan menggunakan agen saraf ‘Novichok’. 

Dua ejen yang dituduh itu menggunakan nama samaran Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov, tetapi nama yang digunakan dalam perintah larangan adalah Anatoly Chepiga dan Alexander Mishkin, kedua-duanya berusia 39 tahun.

Bagaimanapun Kementerian Luar Rusia menafikan dakwaan itu dan menuduh Britain sengaja menggunakannya demi untuk kelangsungan politiknya.

“Kami berhak bertindak balas terhadap dakwaan itu. Usaha itu jelas menunjukkan kerajaan Britain mempunyai agenda susulan krisis Brexit,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Skripal, 67, dan anak perempuannya berusia 34 tahun, Yulia, ditemui tidak sedarkan diri di bangku di luar pusat membeli-belah di Salisbury, barat daya Britain pada 4 Mac 2018.

Beliau dan anaknya terselamat tetapi pada Jun seorang wanita British maut selepas pasangannya menemui botol minyak wangi dicampak yang dipercayai digunakan untuk ‘Novichok’ . 

Ekoran insiden itu Britain mengusir beberapa diplomat Rusia dan disokong Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah. Rusia kemudian mengambil langkah sama mengusir beberapa diplomat asing. – Bernama, 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen