PESURUHJAYA Kebangsaan Hak Asasi Manusia Mongolia Oyunchimeg Purev mengzahirkan harapannya hari ini agar keluarga Altantuya Shaariibuu berjaya menyelesaikan saman bernilai RM100 juta terhadap kerajaan Malaysia berhubung pembunuhan mengerikan yang terjadi pada tahun 2006.
“Sama ada warga Mongolia atau Malaysia, hidup manusia adalah satu perkara yang paling berharga,” kata Oyunchimeg kepada pemberita selepas pendengaran saman tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Ini bukan sekadar isu Mongolia dan Malaysia, ini adalah isu yang disaksikan oleh seluruh dunia.
“Saya percaya sistem kehakiman Malaysia akan menunjukkan bahawa keadilan akan menang (akhirnya),” katanya menerusi jurubahasa.
Oyunchimeg berada di sini sebagai pemerhati saman sivil yang difailkan terhadap kerajaan Malaysia oleh ahli keluarga Altantuya, yang mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan model wanita itu. Keluarganya menuntut RM100 juta bagi ganti rugi dan kerosakan berhubung kematian wanita itu.
“Ia adalah kejadian tragik, apabila seorang warga Mongolia dibunuh 12 tahun lalu di Malaysia. Selama 12 tahun yang lalu, suruhanjaya hak asasi manusia Mongolia telah secara aktif bekerja dengan keluarga mangsa,” kata Oyunchimeg.
Beberapa bahagian tubuh dan tulang penterjemah dan bekas model itu ditemui di Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006. Polis kemudiannya mendapati bahawa mayatnya diletupkan dengan bahan letupan jenis C4.
Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang merupakan bekas kekasihnya, telah dibebaskan dari tuduhan bersubahat dalam pembunuhan tersebut, manakala dua komando polis didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan selepas pusingan akhir rayuan mereka pada tahun 2015.
Bekas ahli unit tindakan khas Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah terhadap pembunuhan tersebut namun motif pembunuhan tidak pernah diungkap sepanjang kes tersebut berjalan di mahkamah.
Azilah kini sedang menunggu hukuman mati sementara Sirul dilaporkan berada di Australia. Pihak berkuasa Malaysia telah memohon dari kerajaan Australia supaya Sirul diekstradisi. – 22 Januari, 2019.
Komen