Australia belanja RM20 bilion setahun tanggung pesakit mental


Jumlah perbelanjaan bagi kesihatan mental oleh kerajaan negeri dan persekutuan Australia dalam tempoh 2016 hingga 2017 adalah melebihi AUD16 bilion. – Gambar YouTube, 22 Januari, 2019.

KERAJAAN Australia terpaksa menanggung kos lebih AUD7 bilion (RM20 bilion) setahun sebagai bayaran kebajikan terhadap pesakit mental, lapor agensi berita China Xinhua memetik dapatan laporan Suruhanjaya Produktiviti.

Suruhanjaya itu pada Selasa telah mendedahkan bahawa bayaran kebajikan untuk golongan berpenyakit mental dan penjaga mereka berjumlah AUD7.3 bilion pada tahun kewangan  2016-2017.

Jumlah perbelanjaan bagi kesihatan mental oleh kerajaan negeri dan persekutuan dalam tempoh itu adalah melebihi AUD16 bilion.

Suruhanjaya Produktiviti telah ditugaskan oleh Bendahari Australia Josh Frydenberg untuk menyiasat kesan ekonomi penyakit-penyakit psikologi.

“Kira-kira 560,000 kanak-kanak dan remaja menghidap penyakit mental dan ini memberi kesan terhadap keupayaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan,” kata Menteri Perkhidmatan Sosial Australia Paul Fletcher.

Siasatan suruhanjaya itu mendapati tiada pengurangan ketara dalam kadar kematian akibat bunuh diri sejak sedekad lalu, meskipun terdapat usaha berterusan untuk menjadikan dasar pencegahan bunuh diri lebih berkesan.

Ia menyebut bahawa sebagai tambahan kepada perbelanjaan kerajaan, pesakit kesihatan mental membayar sendiri sejumlah AUD600 juta bagi mendapatkan khidmat ahli psikologi dan ubat preskripsi pada 2016-2017.

“Antara 2001 dan 2014, bahagian penerima Pencen Bantuan Hilang Upaya yang mendapat bayaran akibat penyakit mental telah bertambah daripada 23 peratus kepada 34 peratus,” menurut suruhanjaya itu.

“Cabaran utama ialah memberi bantuan sewajarnya kepada golongan yang mengalami keadaan ini secara episodik (atau bertanggungjawab menjaga mereka), kerana kemampuan mereka untuk bekerja mungkin berubah-ubah,” katanya. – Bernama, 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen