Australia enggan ekstradisi Sirul sehingga hukuman mati mansuh, kata peguam


Bede Hong

Peguam Ramkarpal Singh mengulas tentang pendirian Australia untuk menghantar pulang pembunuh Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar Umar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2019.

AUSTRALIA tidak akan mengekstradisi bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, sehingga hukuman mati dimansuhkan di Malaysia, kata peguam Ramkarpal Singh.
 
Selepas hari pertama pendengaran kes saman RM100 juta oleh keluarga Altantuya terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, peguam yang mewakili keluarga itu memberitahu wartawan bahawa Austrialia tidak bersetuju dengan hukuman mati di negara ini.

“Kerajaan Australia, walaupun terdapat moratorium, saya tidak fikir mereka akan menghantar Sirul kembali selagi hukuman mati masih wujud.

“Sehingga dan setidak-tidaknya hukuman mati dimansuhkan, sekurang-kurangnya dalam kes dadah, kemudian kerajaan Australia akan mengekstradisi Sirul dan tiada lagi alasan untuk terus melindunginya.

“Jadi walaupun terdapat moratorium, ia tidak mendatangkan perbezaan selagi mana kebimbangan yang disuarakan Australia,” katanya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Liew Vui Keong sebelum ini berkata keputusan untuk memansuhkan hukuman mati merupakan keputusan secara kolektif di Kabinet.

Rang untuk memansuhkan hukuman mati dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen seterusnya iaitu pada 11 Mac depan.

Satu moratorium terhadap semua hukuman itu juga telah dikuatkuasakan.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan ahli keluarganya mendakwa wujud konspirasi berhubung pembunuhan anaknya itu, dan menuntut ganti rugi daripada kerajaan Malaysia.

Serpihan tulang Altantuya ditemukan di Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006. Polis kemudiannya mengesahkan mayat mangsa diletupkan menggunakan bahan letupan C4.

Suspek dalam kes itu, Razak Baginda dibebaskan pada bulan yang sama manakala ketua inspektor polis Azilah Hadri dan Sirul disabitkan kesalahan setahun kemudian.

Sirul bagaimanapun melarikan diri ke Australia. – 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen