PASUKAN pembelaan membantah lantikan seorang penterjemah oleh keluarga mendiang Altantuya Shariibuu dalam kes saman RM100 juta terhadap kerajaan dan Abdul Razak Baginda.
Mereka berkata penterjemah itu, Enkhjin Batbilig yang juga seorang akauntan berusia 31 tahun, tidak layak kerana tidak menerima latihan formal menterjemah prosiding undang-undang.
Peguam bela juga berkata warga rakyat Mongolia yang kini tinggal di Malaysia itu mengambil masa selama 2 jam dengan saksi plaintif semalam dan ini menyebabkan beliau tidak layak sebagai penterjemah mahkamah.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan Enkhjin adalah cekap dan layak.
“Saya dapati beliau cekap untuk terjemah prosiding,” kata Hakim Vazeer Alam.
“Beliau berpengalaman, membuat terjemahan walaupun bukan dalam tetapan formal mahkamah.”
Hakim juga berkata beliau menerima penjelasan peguam keluarga Altantuya iaitu Enkhjin mengambil masa selama dua jam untuk membaca dan mengesahkan kenyataan saksi dalam Bahasa Inggeris dan Mongolia.
Dalam testimoninya kepada mahkamah, Enkhjin memberitahu yang beliau memperoleh Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Nasional Mongolia dan kemudian Ijazah Perakaunan dari universiti di Malaysia pada 2011.
Enkhjin juga memberitahu mahkamah beliau memperoleh sijil Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di Universiti Sunway pada 2014. – 22 Januari, 2019.
Komen