PENGUNDI Cameron Highlands diminta tidak terpedaya dengan janji manis ‘anda bantu saya, saya bantu anda,’ yang disuarakan oleh menteri besar Pahang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Chiong Yoke Kong.
Wan Rosdy Wan Ismail pada Ahad memberitahu pada masyarakat Cina bahawa beliau akan menyelesaikan masalah lesen pendudukan sementara (TOL) yang membelenggu ramai petani di kawasan Parlimen itu.
Namun Chong berkata kerajaan negeri sememangnya bertanggungjawab untuk membantu rakyat dan kemungkinan Pahang akan mengeluarkan semua permit yang diperlukan dan memperbaharui TOL kerana kerajaan negeri memerlukan pendapatan.
“Mereka (kerajaan negeri) mahu mengutip cukai yang mereka peroleh daripada TOL,” kata beliau.
“Jadi (pengundi) tidak perlu risau atau rasa terancam (untuk mengundi Barisan Nasional). Mereka tidak perlu bimbang tentang perkara itu,” katanya di cawangan DAP Brinchang hari ini.
Wan Rosdy memberitahu masyarakat China ketika berkempen menjelang pilihan raya kecil Cameron Highlands pada Sabtu ini bahawa, “Kita perlu ingat perkataan ‘bantu’. Saya meminta bantuan anda kali ini, dan kemudian, anda boleh meminta bantuan saya”.
Menteri besar itu turut mengakui bahawa isu TOL adalah di antara isu utama tempatan dan beliau menyeru pengundi untuk menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.
Katanya dengan memiliki seorang ahli Parlimen BN dari kerajaan negeri akan memudahkan urusan untuk menyelesaikan masalah tanah itu.
Chiong berkata sudah menjadi tugas menteri besar sebagai kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kerajaan persekutuan juga perlu membantu kerajaan negeri. Ia tidak seperti sebelum ini apabila mereka (kerajaan negeri) tidak perlu membayar jika menghadapi masalah hutang.
“Kini semuanya perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP). Mereka perlu mengikut undang-undang kerana ia tertakluk pada belanjawan. – 22 Januari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen