Bekas Adun Umno tak mahu tanding Semenyih


SM Amin

Johan Abd Aziz umum tidak bertanding PRK Semenyih untuk beri laluan kepada muka baharu. – Gambar YouTube, 22 Januari, 2019.

BEKAS Adun Semenyih Johan Abd Aziz mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bagi memberi laluan kepada muka baru bertanding di kerusi itu.

Ketua Umno bahagian Hulu Langat itu juga menjelaskan kenyataannya terdahulu yang menolak calon ‘payung terjun’ diletakkan untuk bertanding di PRK tersebut.

Katanya, kenyataan itu tidak bermaksud beliau berhasrat untuk menjadi calon sebaliknya untuk memastikan calon yang akan mewakili Barisan Nasional dipilih dari kalangan Umno tempatan.

“Bila seseorang pegang jawatan dalam parti, dia mesti ada hasrat (untuk bertanding). Jadi kalau saya tidak beri peluang, takkanlah asyik jeneral (pemimpin kanan) sahaja (hendak bertanding). 

“Baik siapa pun calon, saya pengarah jentera. Ini sudah diputuskan,” katanya dalam satu sidang media bersama Umno dan PAS Selangor di Bangunan Umno Selangor. 

Jawatankuasa Pengurusan Umno Selangor mencadangkan enam nama calon untuk bertanding dalam PRK Semenyih kepada Umno Pusat untuk dipilih dan seterusnya dimuktamad­kan.

Mengulas lanjut mengenai calon Barisan Nasional, Johan memaklumkan tidak semua calon yang dicadangkan mempunyai jawatan dalam Umno bahagian.

“Kami sudah bermesyuarat pada minggu lepas dan menyenarai pendek senarai untuk dicalonkan seramai enam orang mewakili pemuda, wanita dan profesional. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional untuk memutuskan.

“Saya hormati calon-calon daripada pemuda, wanita dan profesional. Calon daripada luar yang tidak mempunyai jawatan dalam Umno bahagian, ada dua orang kita senaraikan. Semua calon adalah pengundi di Dun Semenyih,” katanya.

Kerusi Dun Semenyih kosong selepas penyandang Bakhtiar Mohd Nor, 57 meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Bakhtiar mengalahkan Johan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi. – 22 Januari, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen