KUMPULAN pemerhati data Perancis (CNIL) mengemukakan saman 50 juta euro (RM234 juta) terhadap syarikat enjin carian Google kerana gagal menyediakan maklumat telus dan mudah dicapai.
Saman itu dikemukakan menggunakan Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi melindungi hak pengguna di benua itu.
CNIL berkata Google membuatkan pengguna sukar untuk memahami syarat yang ditetapkan Google dan sukar menguruskan maklumat peribadi mereka yang berkemungkinan digunakan oleh syarikat itu dalam pengiklanan.
Saman itu dibuat selepas aduan dikemukakan oleh dua kumpulan peguam pada Mei tahun lalu apabila GDPR dikuatkuasakan.
Satu daripada aduan itu dibuat bagi pihak Quadrature du Net dari Perancis yang mendapatkan kira-kira 10,000 tandatangan bagi membantah kegagalan Google melindungi hak pengguna.
Manakala satu lagi aduan dikemukakan oleh aktivis Austria Max Schrems.
Schrems menuduh Google memaksa pengguna bersetuju dengan syarat yang ditetapkan untuk menggunakan perisian dalam telefon pintar.
“Syarat yang ditetapkan Google tidak jelas untuk pengguna dan memberi ruang kepada tujuan pengiklanan serta tidak ada kena mengena dengan kepentingan perniagaan Google,” katanya.
Sementara itu Google dalam kenyataannya berkata syarikat itu amat komited untuk memenuhi keperluan yang digariskan menerusi GDPR.
“Pengguna menjangkakan ketelusan dan kawalan yang tinggi dari kami.
“Kami sedang mengkaji keputusan menentukan langkah seterusnya,” kata syarikat itu. – AFP, 22 Januari, 2019.
Komen