Kes rasuah, ugutan antara kesalahan di PRK Cameron Highlands, lapor Bersih


Asila Jalil

Walaupun jumlah kesalahan lebih rendah dicatatkan berbanding PRK sebelum ini, wujud kebimbangan terhadap kesalahan seperti ugutan dan mencetuskan ketegangan kaum dan agama, kata Bersih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2019.

KES rasuah oleh jentera kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selain satu kes ugutan merupakan antara lima kesalahan yang direkodkan oleh pertubuhan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Lima hari lagi sebelum proses pengundian berlangsung pada Sabtu, PH sudah melakukan tiga kesalahan manakala dua lagi kesalahan dilakukan BN, kata pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann.

Kem PH dipercayai terlibat dalam kes rasuah, menggunakan kata ugutan bagi mendapatkan undi dan menyalahguna jentera kerajaan.

Manakala BN dipercayai terlibat dalam kes rasuah dan mencetuskan suasana tidak harmoni dengan membangkitkan sentimen agama atau perkauman.

Bagaimanapun, Fann berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran kesalahan yang berlaku sehingga tamat proses pengundian pada Sabtu dan laporan penuh berhubung kesemua aduan yang diterima sepanjang tempoh kempen akan disiarkan oleh pihak Pemantau dari Bersih 2.0.

Fann berkata walaupun jumlah kesalahan lebih rendah dicatatkan berbanding PRK sebelum ini, wujud kebimbangan terhadap kesalahan seperti ugutan dan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Setakat ini, jumlah kesalahan yang direkodkan kami menunjukkan penguranan (berbanding PRK sebelum ini), tetapi masih berbaki lima hari sebelum hari pengundian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagaimanapun kesalahan seperti ugutan dan mencetuskan ketegangan harmoni merupakan satu kebimbangan. Ia tidak berlaku pada PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.”

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann says mengulas tentang salah laku yang direkodkan sepanjang tempoh kempen PRK Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2019.

Empat PRK sudah dijalankan sejak PRU14. Tiga daripadanya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong manakala satu lagi merupakan kerusi Parlimen Port Dickson.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas mahkamah pilihan raya pada November lalu membatalkan keputusan PRU14 yang dimenangi calon BN C. Sivarraajh kerana didapati membeli undi.

Sivarraajh juga tidak layak untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun.

Sabtu ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Ramli Mohd Noor, calon PH M. Manogaran dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Awal bulan ini, ahli jawatankuasa Bersih Alexzander Johnson berkata jumlah kunjungan pemimpin komponen PH ke Pahang meningkat sejak tarikh PRK itu diumumkan pada Disember dan menjelang hari penamaan calon pada 12 Januari lalu.

Katanya walaupun kunjungan mereka itu tidak menyalahi undang-undang, tetapi kehadiran mereka atas kapasiti menteri dan timbalan menteri dianggap tidak beretika.

Antara yang melawat Cameron Highlands dalam tempoh itu adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bagaimanapun Loke mempertahankan tindakannya dengan mengatakan lawatannya itu adalah berkaitan tugasan kementerian dan tidak kena mengena dengan PRK.

Gambar tular yang menunjukkan kenderaan Pejabat Hutan Daerah Raub disalah guna dengan melekatkan lambang parti pada PRK Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2019.

Sementara itu, satu lagi kesalahan dipercayai dilakukan PH apabila menggunakan jentera kerajaan ekoran penularan gambar kenderaan pacuan empat roda milik Pejabat Hutan Daerah Raub yang dipasang bendera Pakatan.

Kem BN mendakwa kenderaan milik kerajaan negeri itu digunakan untuk tujuan kempen di Cameron Highlands.

Calon BN, Ramli mengemukakan laporan polis berhubung kejadian itu atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Fann berkata calon dan mereka yang terlibat dalam kempen pilihan raya perlu mematuhi peraturan pilihan raya.

“Agensi penguatkuasa dari Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis memantau insiden itu dan tindakan akan diambil,” katanya.

Tempoh kempen PRK itu bermula pada 12 Januari lalu sehingga hari pengundian 26 Januari ini.  – 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen