Kekayaan 26 individu menyamai separuh penduduk miskin seluruh dunia, lapor Oxfam


Seramai 3.8 bilion penduduk berada dalam golongan miskin tegar dan menyaksikan keseluruhan harta mereka jika dikumpulkan, menurun sebanyak AS$500 juta setiap hari atau 11% setahun, kata Oxfam. – Gambar EPA, 22 Januari, 2019.

PERTUBUHAN bebas kebajikan antarabangsa Oxfam memberi amaran tentang ancaman terhadap demokrasi dan kemarahan golongan miskin ekoran keadaan ekonomi yang tidak seimbang di seluruh dunia.

Ini kerana, berdasarkan laporan terbaharu yang dikeluarkan pertubuhan itu menunjukkan jumlah kekayaan 26 individu terkaya di dunia menyamai separuh jumlah harta penduduk miskin di seluruh dunia,.

“Kita dapat melihat golongan kaya semakin bertambah kaya manakala golongan miskin semakin terhimpit dalam kemiskinan,” kata pengarah eksekutif Oxfam Winnie Byanyima.

Laporan itu disiarkan menjelang Forum Ekonomi Dunia di Davos yang melibatkan pertemuan golongan elit seluruh dunia termasuk tiga daripada 26 individi terkaya di dunia.

Laporan itu mendapat harta keseluruhan 26 bilionair dari seluruh dunia meningkat sebanyak AS$2.5 bilion setiap hari pada 2018 atau peningkatan sebanyak 12% setahun.

Sehubungan itu, Oxfam menggesa kerajaan di setiap negara mengenakan lebih banyak cukai terhadap golongan kaya.

Oxfam melaporkan, individu terkaya di dunia, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Jeff Bezos mengumpul kekayaan sebanyak AS$112 bilion pada tahun lalu dan 1% hartanya itu menyamai seluruh perbelanjaan kesihatan negara Ethiopia yang didiami 105 juta penduduk.

“Laporan ini menunjukkan bukti bahawa ketidaksamaan yang melampau dan tidak terkawal,” kata Byanyima 

Seramai 3.8 bilion penduduk berada dalam golongan miskin tegar dan menyaksikan keseluruhan harta mereka jika dikumpulkan, menurun sebanyak AS$500 juta setiap hari atau 11% setahun, kata Oxfam.

Jelas pertubuhan itu, keadaan itu menunjukkan jurang golongan kaya dan miskin semakin jauh, dan usaha mengatasi kemiskinan amat sukar dilakukan selain mengundang kemarahan orang awam serta menjejaskan ekonomi.

“Orang ramai terutamanya yang berpendapatan rendah berasa marah dan kecewa,” katanya.

“Mereka berusaha keras demi pendidikan bagus untuk anak-anak, mahu mendapatkan faedah kesihatan yang baik dan perlindungan sosial.

“Tetapi akhirnya, tiada satu pun faedah itu untuk mereka,” katanya.

Selai itu Byanyima berkata kerajaan berdepan tekanan kemarahan orang ramai terhadap ketidaksamaan itu.

“Ketidaksamaan akan mengancam demokrasi, lebih-lebih lagi ahli politik mengambil kesempatan menindas golongan miskin,” katanya.

Oxfam mencadangkan golongan kaya untuk membayar 0.5% cukai tambahan atas kekayaan mereka bagi menampung pendidikan 262 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah selain menyediakan penjagaan kesihatan yang mampu menyelamatkan 3.3 juta nyawa. – AFP, 22 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen