SERAMAI 14 anak kapal dilaporkan maut, manakala lima lagi hilang dalam insiden kebakaran membabitkan dua kapal tangki di luar perairan Crimea, Rusia di Laut Hitam, semalam.
Kebakaran dipercayai berlaku ketika proses pemindahan minyak membabitkan dua kapal itu, sebelum ia terbakar hingga memaksa anak kapal menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut.
“Kami berjaya menemui 11 mayat. Tiga lagi mangsa terjatuh ke dalam laut sebelum pasukan penyelamat tiba dan dikhuatiri semua maut,” kata jurucakap Agensi Persekutuan bagi Maritim dan Pengangkutan Sungai Rusia, Alexei Kravchenko.
Beliau berkata, kedua-dua kapal terbabit, iaitu Kandy membawa 17 anak kapal, manakala Maestro membawa 14 anak kapal, kebanyakannya dari India dan Turki.
“Seramai 12 anak kapal berjaya diselamatkan, tetapi nasib lima lagi anak kapal tidak diketahui.
“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” kata Kravchenko.
Katanya, pihak berkuasa di bandar Kerch, Crimea sedang membuat persiapan untuk menerima kesemua mangsa.
Kejadian itu berlaku berhampiran Selat Kerch, yang menjadi lokasi terbaharu dalam ketegangan membabitkan Rusia dan Ukraine.
Pada November lalu, Rusia menembak dan menahan tiga kapal laut milik Ukraine ketika ia belayar menyeberangi Selat Kerch dari Laut Hitam menuju Laut Azov. – AFP, 22 Januari, 2019.
Komen