SEBANYAK RM20 juta ditambah dalam peruntukan program bantuan untuk veteran tentera, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika membuat rayuan khas kepada pesara askar yang menjadi blok pengundi penting di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Mohammad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu, yang berucap di hadapan peneroka Felda Sungai Koyan Dua dan Tiga dalam satu program malam tadi, memaklumkan tentang skim itu sebagai menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) tidak memberi perhatian terhadap pesara.
Beliau berkata pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya tidak mempedulikan pesara, malah Majlis Pesara Nasional tidak bermesyuarat walaupun sekali dalam tempoh enam tahun.
“Kerajaan baharu 2019 peruntukkan untuk veteran RM78.9 juta naik RM98.9 juta, tambah RM20 juta,” katanya, menambah bekas tentera perlu berdaftar dengan persatuan veteran yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mendapatkan bantuan itu.
Antara peruntukan yang disediakan untuk veteran ialah bantuan kos sara hidup RM300, bantuan untuk anak bersekolah menengah dan rendah sebanyak RM700 dan RM500, bantuan RM1,000 dan RM1,500 bagi anak yang menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah, pembelian barangan perubatan RM1,500 dan khairat kematian RM3,000.
Mereka yang kematian pasangan atau anak layak menerima RM1,500 sementara yang mengalami kerosakan rumah boleh memohon untuk mendapat bantuan sehingga RM5,000.
“Tetapi menteri sebelum ini datang dan beritahu anda bahawa PH sudah melupakan veteran,” kata Mohamad.
Kira-kira 1,600 pengundi dan peneroka di Felda Sungai Koyan Dua dan Tiga bekas tentera yang dibenarkan menyertai skim Felda selepas tamat berkhidmat pada penghujung 1970-an.
Dua penempatan itu berada di bawah kawasan Jelai iaitu sebahagian daripada kerusi Parlimen Cameron Highlands.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH M Manogaran, Ramli Mohd Nor daripada BN dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
Mohamad mendakwa kerajaan BN dulu yang tidak menjaga kebajikan pesara tentera secara serius.
“Majlis veteran yang ditubuhkan enam tahun dulu tak pernah mesyuarat. Bila Abang Mat naik baru mesyuarat berfungsi. Bulan 12 mesyuarat dan bulan 2 mesyuarat lagi. Kita akan bincang apa yang boleh buat untuk bantu veteran.
“Menteri pertahanan dulu sekali mesyuarat tapi tak sah kerana dipengerusikan oleh timbalan menteri, majlis veteran kena pengerusi menteri sama seperti Majlis Angkatan Tentera.
“Kalau kerajaan kita tambah baik tahun depan, kita akan tuntut supaya tambah bantuan untuk perajurit dan bekas perajurit,” katanya. – 22 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan