Letupan gegar Ireland Utara, ‘IRA Baharu’ bertanggungjawab


Letupan itu menimbulkan ketakutan dalam daerah yang baharu pulih daripada konflik berdarah selama tiga dekad susulan perjanjian damai 1998. – Gambar EPA, 21 Januari, 2019.

POLIS Ireland Utara hari ini menyoalsiasat empat lelaki kerana letupan bom kereta yang dikaitkan dengan kumpulan pemisah ketika timbul kebimbangan kegagalan Brexit boleh mengacau keamanan di daerah British itu.

Bom itu meletup pada jam 8.10 malam Sabtu lalu di luar mahkamah di bandar Derry.

Polis berkata mereka percaya kumpulan separa tentera menggelarkan diri mereka “IRA Baharu” dalang kejadian itu.

“Kami sudah tidak nampak peranti seperti ini sejak sekian lama. Ini adalah taktik berisiko tinggi,” kata Mark Hamilton daripada Polis Ireland Utara (PSNI) kepada radio BBC.

Hamilton berkata IRA Baharu sebelum ini banyak dikaitkan dengan kejadian kekecohan dan letupan itu “mungkin serangan yang paling signifikan dilakukan kumpulan itu dalam masa beberapa tahun ini”.

Perjanjian damai 1998 menamatkan konflik berdarah tiga dekad antara kumpulan pemisah dan tentera British, di kenali di Ireland Utara sebagai “Pergolakan”.

Lebih 3,500 orang terbunuh dalam konflik itu- kebanyakan mangsa adalah serangan Tentera Republik Irish (IRA).

Hamilton semalam berkata IRA Baharu “mahu mengheret rakyat kembali ke zaman yang mereka tidak mahu berada”.

Wujud kebimbangan yang serangan itu adalah petanda kumpulan pemisah mahu mengambil kesempatan kerana situasi politik yang bergolak disebabkan Brexit.

Menteri Luar Jerman Heiko Maas, bercakap di Brussels, menggunakan letupan Deryy sebagai amaran yang Brexit tidak boleh mengacau proses damai di Ireland Utara.

Polis mendapat maklumat yang bahan letupan itu diletakkan di kawasan tersebut dan sudah memulakan proses pengosongan apabila ia meletup. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Dua lelaki dalam usia 20-an ditahan awal pagi semalam. Tidak lama kemudian, dua lagi lelaki berusia 34 dan 42 tahun turut ditahan.

Semuanya masih dalam tahanan, kata polis.

Kejadian tersebut dikecam parti politik pelbagai lapisan serta pemimpin Republik Ireland.

Perdana Menteri Leo Varadkar menyifatkannya sebagai “tindakan keganasan sinikal, terburu-buru dan mengejutkan.” – AFP, 21 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen