DATA rasmi di China hari ini menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk di negara lebih perlahan pada tahun lepas walaupun dasar satu anak sudah dimansuhkan.
Mengikut data rasmi Biro Statistik Nasional China (NBS), sebanyak 15.23 juta kelahiran dicatatkan pada 2018, kurang dua juta berbanding tahun sebelumnya.
Angka kematian pada 9.93 juta menyebabkan kadar pertumbuhan di China berada pada 3.81 per seribu pada 2018, berbanding 5.32 per seribu pada 2017.
Pesuruhjaya NBS Ning Jize berkata pertumbuhan penduduk sudah capai kemuncak , tetapi negara itu masih mempunyai potensi, katanya.
“Kadar buruh di China bukan yang paling rendah di dunia, lebih 700 juta daripada 900 juta rakyat kami (umur bekerja) yang diambil bekerja, dan masih ada lagi ruang (bagi pertumbuhan),” katanya.
Tanda-tanda bahawa pertumbuhan penduduk China menurun muncul apabila data jumlah kelahiran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan menunjukkan penurunan ketara pada tahun lepas.
Di Qingdao, bandar di wilayah timur Shandong misalnya, mencatatkan penurunan sebanyak 21%, iaitu hanya 81,000 kelahiran antara Januari dan November berbanding tahun sebelumnya.
Qingdao merupakan salah satu daerah yang paling ramai penduduk di China.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan penduduk China naik sebanyak 5.3 juta kepada 1.395 bilion pada 2018 dan masih kekal sebagai negara paling ramai penduduk di dunia. – AFP, 21 Januari, 2019.
Komen