Sindiket curi susu bayi di Australia untuk jual ke China tumpas


Susu bayi, vitamin dan madu Australia adalah barang buruan di China mencetuskan industri bawah tanah yang mencuri barangan tersebut sebelum menghantarnya ke China untuk dijual dengan harga tinggi. – Gambar AFP, 21 Januari, 2019.

ENAM orang didakwa selepas pihak berkuasa Australia membongkar sindiket jutaan ringgit yang mencuri susu bayi dan vitamin dari pasar raya besar seluruh Sydney sebelum dihantar ke China, kata polis hari ini.

Empat orang sekeluarga dan dua lelaki ditahan dan didakwa atas “jenayah kumpulan terancang” yang dipercayai polis sudah beroperasi beberapa tahun lalu.

“Kami berpandangan ini adalah kumpulan jenayah yang meluas yang mengeksploitasi pasaran luar negara yang menjejaskan penduduk Australia,” kata Pesuruhjaya Polis NSW Danny Doherty kepada wartawan di Sydney.

Doherty berkata penyiasat masih belum dapat menentukan kawasan produk itu dijual, tetapi setakat ini “ratusan bekalan kapal susu bayi sudah dihantar ke China”.

Susu premium bayi, vitamin dan madu dari Australia adalah bahan rebutan di China, di negara yang rakyatnya bimbang akan keselamatan makanan yang seringkali menyebabkan tragedi kematian dan keracunan.

Siasatan bermula Februari lalu selepas polis menerima laporan kecurian daripada pasaraya Sydney.

Penyiasat berkata mereka menyerbu dua rumah di Sydney Ogos lalu dan menemui 4,000 tin susu bayi, jumlah besar vitamin, madu Manuka serta wang tunai lebih Aus$215,000 (RM634,000).

Tangkapan terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun pada Ahad lalu di Lapangan Terbang Sydney selepas beliau sampai dari China.

“Ia siasatan mendalam…dan kami menjangkakan lebih banyak tangkapan akan dibuat,” kat Doherty, menambah yang polis menjangkakan susu bayi bernilai Aus$1 juta dicuri sejak 12 bulan lepas.

Wujud pasaran pembeli upahan di Australia yang dikenali sebagai “daigou” yang membeli produk di Australia dan menghantarnya ke China dengan bayaran upah.

Penganalisis menjangkakan terdapat ribuan daigou yang membuat untung purata Aus$100,000 setahun dengan menjual semula produk tersebut. Laporan media tempatan menyebut yang susu bayi yang dijual dengan harga Aus$30 di Australia boleh dijual sehingga mencecah Aus$80 setin di China.

Permintaan yang tinggi terutama untuk susu bayi menyebabkan pasar raya Australia menghadkan jumlah tin yang boleh dibeli seseorang. – AFP, 21 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen