Jerman cadang sekat syarikat penerbangan Iran


Mahan Air merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di Iran selepas Iran Air. – Gambar EPA, 21 Januari, 2019.

JERMAN bercadang untuk melarang syarikat penerbangan Iran, Mahan Air mendarat di lapangan terbangnya, lapor media semalam, sebagai usaha meningkatkan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) ke atas Iran.

“Pejabat Penerbangan Persekutuan (LBA) akan menggantung lesen operasi syarikat penerbangan Iran, Mahan Air minggu ini,” lapor akhbar Munich, Sueddeutsche Zeitung.

Mahan Air merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di Iran selepas Iran Air, membuat empat penerbangan seminggu antara Tehran dan Duesseldorf dan Munich, di Jerman.

Awal bulan ini EU mengenakan sekatan terhadap perkhidmatan keselamatan Iran dan dua pemimpin mereka, dengan tuduhan pembabitan dalam siri pembunuhan dan serangan terancang terhadap pengkritik Tehran di Belanda, Denmark dan Perancis.

Ini termasuk membekukan dana dan aset kewangan milik Kementerian Perisikan Iran dan pegawai-pegawai. Bagaimanapun, sekatan tidak dikenakan terhadap mana-mana syarikat Iran.

Pada 2011, Amerika Syarikat menyenaraihitamkan Mahan Air atas alasan syarikat penerbangan itu memberi sokongan teknikal dna material kepada unit elit Iran yang dikenali sebagai Pasukan Quds (Quds Force). – AFP, 21 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen