SALAH sebuah rangkaian kereta api bawah tanah paling sesak Tokyo menawarkan makanan percuma bagi mengurangkan kesesakan waktu puncak.
Sekitar 7.2 juta orang pengguna menggunakan rangkaian kereta api Tokyo setiap hari, dengan beberapa rangkaian penuh sesak ketika waktu puncak.
Antara yang paling teruk terjejas adalah rangkaian Tozai, yang kini mahu menarik minat penggunanya menggunakan khidmat sebelum waktu puncak bermula.
Sekiranya ia berjaya menyakinkan sekurang-kurangnya 2,000 pengguna untuk mengambil kereta api awal pagi sebelum waktu puncak dalam tempoh dua minggu, Tokyo Metro- syarikat pengendali kereta api- akan menawarkan setiap seorang pengguna tersebut set makanan tempura percuma.
Dan jika 2,500 menamatkan cabaran pergi kerja lebih awam setiap hari dalam tempoh itu, mereka akan mendapat semangkuk soba percuma.
Jika jumlah pengguna mencecah 3,000 orang, mereka akan mendapat set kombo- soba dan tempura- untuk tindakan mereka.
Tawaran makanan percuma itu dilakukan ketika Kerajaan Metropolitan Tokyo melancarkan inisiatif selama dua minggu untuk mengalakkan penduduk menggunakan perkhidmatan kereta api di luar waktu puncak.
Hampir 1,000 syarikat mengambil bahagian dalam kempen tersebut, membenarkan kakitangan mereka mula bekerja awal atau habis kerja lebih awal atau bekerja daripada rumah.
Pegawai kereta api sudah banyak kali melancarkan pelbagai kempen untuk mengurangkan kesesakan waktu puncak terutama sekali di Tozai, rangkaian kereta api yang menghubungkan pinggir bandar di barat Tokyo dan Chiba terus ke kawasan perniagaan kota raya terbesar dunia itu.
Ketika waktu puncak bermula jam 7.50 pagi hingga 8.50 pagi, lebih 76,000 penumpang penggunakan perkhidmatan kereta api itu, dua kali ganda jumlah penumpang asal untuk pergerakan yang selesa.
Keretapi yang beroperasi dengan 199% kapasitinya itu masih dianggap selamat, tetapi penumpang berhimpit sehingga tidak boleh menggerakkan badan mereka, kata Takeshi Yamashita, jurucakap Tokyo Metro.
“Ini adalah rangkaian tersesak kami. Kami cuba mengurangkan kesesakan waktu puncak,” katanya kepada AFP.
“Kami harap ini akan menggalakkan orang mengambil (keretapi lebih awal) untuk membantu mengurangkan kesesakan waktu puncak,” katanya.
Kesesakan dijangka bertambah buruk dan cabaran penganjuran Olimpik Tokyo pada musim panas tahun depan, dengan beberapa pakar mendesak inisiatif diambil termasuklah kerja dari rumah untuk mengelak berlaku kekecohan ketika temasya sukan terbesar dunia itu. – AFP, 21 Januari, 2019.
Komen