MASYARAKAT Islam tidak sepatutnya mengundi berdasarkan agama calon, tetapi perlu memilih individu yang sebahagian daripada pakatan yang akan mempertahankan Islam dan menolak rasuah, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Menjawab kenyataan yang disifatkan retorik yang digunakan Umno dan PAS pada pilihan raya kecil Cameron Highlands, Nik Omar berkata adalah lebih penting bagi umat Islam untuk berpendirian menentang rasuah, daripada mereka memilih untuk mengundi calon sesama Islam.
“Apabila kita pilih pemimpin yang kita yakin walaupun daripada kalangan bukan Islam,” kata anak kepada tokoh pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita yakin kita pilih dia bukan kerana agamanya tetapi kita pilih kerana dia dalam satu pasukan dalam kerajaan yang kita yakin mahu membawa Islam,” katanya pada forum perdana di Sungai Koyan 1, Cameron Highlands malam tadi.
Nik Omar berkata, Allahyarham bapanya juga menyokong perkara yang sama ketika PAS berada dalam Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.
“Zaman tok guru pun dengan Pakatan Rakyat dia beri pandangan di mana ada tempat, ada calon Islam sokong calon Islam. Kalau di tempat lain ada parti lain yang bersama dengan kita walaupun dia bukan Islam kita tetap bagi sokongan kita,” katanya yang juga pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim).
“Walaupun dia bukan Islam, kita tetap bagi sokongan bukan kerana agama dia tapi kerana dia bersama untuk bawa kebaikan kepada rakyat kita, kepada negara dan agama kita,” katanya.

Beliau turut disertai oleh penceramah bebas Fauwaz Fadzil dan Muhsin Ahmad.
Calon PH M Manogaran daripada DAP akan berdepan calon BN Ramli Mohd Nor dan dua calon bebas Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib pada pilihan raya kecil bagi merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands.
PAS, yang meminta ahlinya member sokongan kepada calon BN, secara terbuka melabel DAP sebagai anti-Islam dan menyatakan menjadi kewajipan orang Islam untuk memastikan DAP tidak menang.
Bagaimanapun Nik Omar menyatakan pada Pilihan Raya Umum ke 14, BN meletakkan calon bukan Islam, C Sivarraajh yang turut mendapat sokongan PAS.
“Pada pilihan raya sebelum ini, mereka pun suruh pilih pemimpin orang bukan Islam. Macam mana dalam satu keadaan mereka kata boleh pilih dan dalam satu lagi mereka kata tak boleh pilih.”
Nik Omar menggesa pengundi di Cameron Highlands untuk mengikut rakyat Malaysia yang mahu menamatkan kerajaan rasuah dan meletakkan pentadbiran yang mahu membanteras rasuah pada PRU14.
“Kita boleh jawab tak boleh pilih pemimpin yang rapat dengan pemimpin rasuah. Usaha menghapuskan rasuah ini adalah sesuatu yang dalam Islam kita patit sokong.
“Saya menyeru kepada pengundi di Cameron Highlands agar berani membuat perubahan demi kebaikan kita. Perubahan itu penting dan ia mesti bermula dari dalam,” katanya. – 21 Januari, 2019
Komen