Ribuan rakyat berarak di Colombia kutuk keganasan 


Rakyat Colombia berarak mengutuk keganasan serangan pemberontak ELN yang menyebabkan 20 nyawa pelatih akademi polis terkorban dalam serangan bom kereta.

RIBUAN rakyat berarak di Coombia pada Ahad bagi mengutuk serangan bom kereta yang menyebabkan 20 pelatih di pusat latihan polis terbunuh dan mendakwa pemberontak ELN bertanggungjawab terhadap serangan itu dalam cubaan untuk menangguhkan rundingan damai. 

Bantahan itu diadakan di beberapa buah bandar utama di seluruh negara berkenaan, dengan pesertanya mengibarkan bendera Colombia dan melaungkan slogan “pembunuh pengecut” dan “nyawa sangat berharga”. 

“Kami membantah segala bentuk keganasan terhadap polis mahupun pemimpin sosial,” kata penuntut universiti Yeison Torres, 19, kepada AFP. 

Di Bogota, perarakan itu hari ini dijadualkan akan berakhir dengan upacara keagamaan untuk mangsa yang berusia antara 17 dan 22 tahun yang terbunuh dalam serangan terburuk di bandaraya itu sejak 2003. 

“Kumpulan yang terlibat dengan penyeludupan dadah, penculikan dan meletupkan saluran paip minyak seolah-olah tidak menunjukkan mereka mahu keamanan. Ditambah pula dengan meletupkan 20 orang?” kata pekerja salun kecantikan, Amanda Ramirez, 49. 

Beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang turut menyertai perarakan itu yang diadakan di ibu negara Colombia. 

“Saya sangat kecewa. Tetapi saya juga mahu keluar dan memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh kerana menolak keganasan, menolak kekejaman dan bersatu sebagai sebuah negara,” kata Presiden Ivan Duque.

Beberapa peserta turut berlari ke arah pegawai polis yang bertugas untuk memuji mereka dan memberikan penghargaan. 

Presiden itu, yang memutuskan untuk membatalkan rundingan damai selepas serangan itu yang dimulakan oleh pemenang hadiah Nobel Keamanan, Juan Manuel Santos pada 2017, turut memberi sokongan untuk mengatasi ancaman brrkenaan.  

“Hari ini, Colombia memberitahu kamu, ELN, ‘cukup’ dan tiada lagi keganasan. Colombia telah bersatu untuk membanteras jenayah ini,” tambah Duque. – AFP, 21 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen