MASALAH teknikal dan kecemasan perubatan menyebabkan penumpang pesawat United Airlines terkandas selama 16 jam di landasan lapangan Terbang di Kanada, lapor agensi berita CBC.
Penerbangan United 179 itu berlepas pada Sabtu dari Newark, New Jersey dalam penerbangannya ke Hong Kong membawa 250 penumpang.
Salah seorang penumpangnya menghadapi masalah kesihatan menyebabkan pesawat itu terpaksa membuat pendaratan cemas di lapangan terbang di Goose Bay, Newfoundland dan wilayah Labrador, di pantai timur Kanada, kata syarikat penerbangan itu kepada CBC.
Namun selepas petugas perubatan membawa penumpang berkenaan ke hospital, pesawat terbabit dilaporkan gagal berlepas berikutan keadaan cuaca -30 darjah selsius menyebabkan pintunya membeku.
Oleh kerana tiada pegawai kastam bertugas ketika itu, penumpang terpaksa menunggu dalam pesawat, kebanyakannya menggigil kesejukan dan hanya berselimut dengan kain selimut nipis yang dibekalkan kru kabin pesawat berkenaan.
Dengan kekurangan bekalan makanan dan minuman selepas 10 jam terkandas, pegawai penerbangan akhirnya tiba membawa bekalan daripada rangkaian makanan segera Tim Hortons yang terkenal di Kanada dengan donat dan kopi.
Salah seorang penumpang, Sonjay Dutt yang dihubung melalui telefon berkata, keadaan pesawat terlalu sejuk dan penghantaran makanan dan kopi tidak mencukupi untuk menenangkan penumpang yang marah.
Pesawat berkenaan tiba di Goose Bay pada pagi Ahad. Penumpang kemudiannya dipindahkan dari pesawat itu menaiki bas, untuk membawa mereka kembali ke Newark, yang mana mereka sepatutnya tiba sehari sebelum itu, lapor CBC. – AFP, 21 Januari, 2019
Komen