TURKI bersedia untuk mengambl alih dan memastikan keselamatan Manbij di utara Syria bagi memastikan “masa tidak terbuang,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam satu panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Amerika Syarikat, Donald Trump.
Manbij, yang dikawal oleh pejuang Kurdish dan disokong oleh tentera AS, diserang pada Rabu oleh kumpulan IS yang menyebabkan 19 orang terbunuh termasuk empat warga AS.
Dalam perbualan telefon kedua yang dibuat dalam tempoh kurang seminggu itu, Erdogan memberitahu Trump bahawa serangan itu merupakan “provokasi” yang menyasarkan untuk memberi kesan kepada keputusan AS menarik balik tenteranya dari Syria, lapor agensi berita negara itu, Anadolu.
Turki sejak beberapa bulan lalu mengancam untuk melancarkan serangan balas di Manbij bagi mengusir pemberontak Kurdish.
Pemberontak Kurdish bagaimanapun mendapat sokongan Amerika Syarikat dalam perjuangannya menentang kumpulan IS.
Namun Ankara menyifatkan pemberontak itu sebagai “organisasi pengganas” dan enggan melihat ia diletakkan di sempadannya kerana bimbang ia mungkin akan menghantar pemisah PKK ke dalam Turki.
Bagi mengurangkan ketegangan, Turki dan AS pada Mei lalu bersetuju dengan pelan termasuk untuk menarik balik pemberontak Kurdish dari Manbij dan meletakkan pasukan kawalan bersama Turki-AS yang akan bermula pada November.
Dua sekutu Nato itu juga cuba mewujudkan “zon keselamatan” yang menyasarkan untuk memisahkan sempadan pemisah yang dibuat oleh pemberotak di sempadan Turki.
Erdogan dan Trump pada Ahad bersetuju untuk mempercepatkan rundingan antara pemimpin tentera kedua-dua negara untuk mewujudkan zon ini, lapor Anadolu. – AFP, 21 Januari, 2019
Komen